Ops Mawar Merah banteras maksiat
Astro Awani
Februari 13, 2013 07:39 MYT
Februari 13, 2013 07:39 MYT
Jabatan Agama Islam Johor (JAIJ) mengadakan Operasi Mawar Merah bagi membanteras maksiat sempena hari kekasih dengan operasi ditumpukan di hotel bajet sekitar bandaraya Johor Bahru dan Kulai Jaya.
Lima pasangan kekasih termasuk satu pasangan yang sudah bertunang telah ditahan.
Mereka akan dibawa ke Mahkamah Syariah hari ini (Khamis).
Timbalan Pengarah Operasi JAIJ, Ramly Jusoh berkata semua yang ditahan berusia dalam lingkungan umur 20 hingga 40 tahun.
Mereka boleh dihukum mengikut Seksyen 27 (1) (a) & (b), Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Johor 1997 kerana berkhalwat.
Jika disabitkan kesalahan, boleh membawa hukuman denda tiga ribu ringgit atau penjara dua tahun.
Jelas Ramly, hotel yang menjadi tumpuan pasangan terbabit adalah hotel murah yang menawarkan bayaran mengikut jam.
Ramly turut berpesan kepada ibu bapa supaya menjaga pergaulan anak-anak mereka.