Ops Mata Hati pantau pelaksanaan pengasingan sisa pepejal
Tan Su Lin
Julai 1, 2015 16:47 MYT
Julai 1, 2015 16:47 MYT
Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal Dan Pembersihan Awam (SWCorp) hari ini melancarkan Ops Mata Hati untuk memantau sejauh mana penduduk setempat mengasingkan sisa pepejal di rumah.
Operasi pemantuan dari rumah ke rumah itu dilancarkan secara serentak di negeri-negeri yang menggunapakai (Akta 672) Akta Pengurusan Sisa Pepejal Dan Pembersihan Awam 2007 iaitu di Kuala Lumpur, Putrajaya, Pahang, Johor, Melaka, Negeri Sembilan, Perlis dan Kedah.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif SWCorp, Datuk Ab Rahim Md Noor, langkah itu bertujuan memastikan masyarakat dapat membiasakan diri dengan penguatkuasaan dasar itu dalam tempoh dua bulan lagi.
Melalui operasi itu, premis yang belum melaksanakan pengasingan sisa akan diberikan surat peringatan mesra.
Namun tegas Ab Rahim bermula 1 September, notis amaran akan diberikan bagi mereka yang belum melaksanakan sistem tersebut.
"1 September itu kita akan mula mengguna pakai akta itu tetapi kita tidak denda dahulu. Akta itu menyebut kita boleh memberi amaran bertulis dan notis amaran itu adalah satu daripada prosedurnya."
"Biasanya kalau orang buat kesalahan kita tidak terus denda, kita bagi dia notis dahulu. Tetapi jika dia terus mengulangi kesalahan itu, dia akan didenda." ujarnya semasa mengetuai Ops Mata Hati di sekitar Presint 18, Putrajaya.
Denda kompaun maksimum yang boleh dikenakan bagi penduduk yang enggan melaksanakan pengasingan sisa pepejal adalah sehingga RM1,000.
Semasa operasi itu berlangsung, pengumuman mengenai pengasingan sisa di punca juga akan dibuat melalui kenderaan yang dilengkapi dengan pembesar suara bagi menyampaikan mesej dan informasi berkaitan pengasingan.
Ditanya sama ada orang ramai diwajibkan menggunakan plastik sampah berlainan warna untuk mengasingkan sisa, katanya, langkah itu tidak perlu.
"Sebenarnya tidak kisah apa warna beg plastik pun boleh sebab syarikat konsesi kutipan sampah sudah ada beg 'jumbo' di mana sisa itu akan ditempatkan dalam beg itu mengikut klasifikasi ditetapkan supaya tidak bercampur. Mereka boleh buka dan lihat apa jenis sisa itu dan asingkan sewajarnya. Jadi tidak kisah apa warna beg plastik itu."
Proses pengasingan sisa di punca membabitkan pengasingan sisa pepejal isi rumah mengikut komposisi sisa iaitu plastik, kertas, logam, sisa pukal dan sisa kebun dimasukkan dalam beg plastik berasingan dan diikat serta diletakkan di tepi tong sampah beroda pada hari kutipan.
Biarpun pelaksanaan sistem itu akan bermula 1 September secara berperingkat, namun penguatkuasaan undang-undang sepenuhnya hanya akan bermula 1 Januari tahun depan bagi memberi ruang kepada masyarakat bersedia selain meningkatkan kesedaran mereka mengenai kepentingan pengasingan sisa pepejal itu.
#Johor
#Kedah
#Kuala Lumpur
#Melaka
#Negeri Sembilan
#Ops Mata Hati
#Pahang
#Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal Dan Pembersihan Awam
#Perlis
#Putrajaya