Ops Manis: KPDN periksa 116 premis di Kelantan, Terengganu

Bernama
Mei 5, 2023 21:19 MYT
KPDN memeriksa 116 premis di Kelantan serta Terengganu menerusi Ops Manis hari ini dan tiada kes kegagalan pematuhan undang-undang yang menyebabkan gangguan bekalan gula direkodkan. - Foto Facebook KPDN Kelantan
PUTRAJAYA: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) memeriksa 116 premis di Kelantan serta Terengganu menerusi Ops Manis hari ini dan tiada kes kegagalan pematuhan undang-undang yang menyebabkan gangguan bekalan gula direkodkan.
Ketua Setiausaha KDPN Datuk Azman Mohd Yusof dalam kenyataan hari ini memaklumkan hasil pelaksanaan operasi di kedua-dua negeri, dua aduan diterima namun tiada sebarang kompaun dikeluarkan.
Ops Manis yang dilaksana dari 3 hingga 9 Mei antaranya bagi memulihkan gangguan bekalan gula di setiap lapisan rantaian pembekalan, memastikan tidak berlaku pembelian panik dan setiap peniaga mematuhi undang-undang.
Beliau berkata jumlah pengedaran gula dari kilang ke pemborong utama di Kelantan berjumlah 147,840 kilogram melibatkan 17 pemborong manakala Terengganu pula sebanyak 269,528 kilogram dengan 19 pemborong.
Katanya berdasarkan laporan pasukan petugas khas di Kelantan, sebanyak 280 premis membabitkan 263 pemborong atau peruncit dan 17 pasar raya telah diperiksa dan bekalan gula didapati ada hasil pengedaran serta penghantaran oleh enam pemborong utama.
Di Terengganu pula, Azman berkata sebanyak 148 premis melibat pemborong, peruncit dan pasar raya telah menerima bekalan hasil edaran serta penghantaran oleh 10 pemborong utama.
Katanya isu kekurangan gula di Terengganu didapati berlaku kerana pasar raya utama yang menerima edaran dari pusat pengumpulan dan pengagihan makan turut menerima pembelian yang tinggi serta berlaku kehabisan bekalan.
-- BERNAMA
#Ops Manis #kpdn #Kelantan dan Terengganu #bekalan gula
;