Ops Khas Pagar Laut 2024, rampasan hampir RM9 juta - APMM Kelantan
Bernama
Mac 17, 2025 23:15 MYT
Mac 17, 2025 23:15 MYT
Erwan Shah pada sidang media di Ibu Pejabat Maritim Negeri Kelantan, Tok Bali hari ini. - Gambar Bernama
PASIR PUTEH: Operasi Khas Pagar Laut 2024 merekodkan rampasan bernilai kira-kira RM9 juta melibatkan 121 kes pelbagai kegiatan jenayah rentas sempadan, sekali gus membuktikan keberkesanan penguatkuasaan oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dalam mengekang ancaman maritim di perairan negara.
Pengarah Maritim Kelantan Kapten Maritim Erwan Shah Soahdi berkata sepanjang tahun lepas, APMM berjaya menahan lima bot nelayan yang melakukan pelbagai kesalahan termasuk tiga bot nelayan asing dan dua bot nelayan tempatan.
"Antara kesalahan yang sering dikesan ialah tiada permit kerja dan pasport bagi kru kapal. Walaupun dalam bulan Ramadan dan Syawal, operasi di laut tidak akan dihentikan.
"Kami ingin memberi peringatan kepada pihak yang berniat melanggar undang-undang bahawa APMM sentiasa bersiap siaga," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Ops Khas Pagar Laut 2025 peringkat Kelantan di sini hari ini.
Erwan Shah berkata operasi tahun ini diperketat dengan pengaktifan semula operasi khas tersebut khususnya di Kelantan bagi memastikan keselamatan perairan sepanjang musim perayaan.
Beliau berkata operasi itu merupakan langkah strategik bagi meningkatkan kawalan keselamatan di perairan negara.
"Aset-aset penguatkuasaan akan terus dikerahkan di perairan negara termasuk kapal dan bot yang bertugas sepanjang masa," katanya.
Menurut Erwan Shah terdapat kemungkinan peningkatan aktiviti penyeludupan melalui laut susulan kawalan ketat di sempadan darat dan sungai.
"Oleh itu, operasi kali ini memberi tumpuan khusus kepada laluan maritim yang berpotensi menjadi pintu masuk bagi aktiviti penyeludupan," katanya.
-- BERNAMA