Ops Kesan: Belum ada petunjuk baharu jejak Acap

Aida Aziz
April 13, 2019 17:14 MYT
Semoga urusan pencarian Mohammad Ashraf yang dilakukan oleh pasukan anggota polis dan bomba yang terlibat dipermudahkan. - Astro AWANI
Ops Kesan khas yang dilancarkan Polis Perak untuk mencari peserta Gopeng Ultra Trail, Mohammad Ashraf Hassan, 29, pada Sabtu masih belum berjaya menemui sebarang petunjuk baharu.
Menurut Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Perak, Senior Asisten Komisioner Yahya Abd Rahman, operasi yang bermula seawal 7 pagi itu berakhir sekitar jam 2 petang dengan kekuatan lebih 200 anggota dan pegawai polis.
Ujarnya, tumpuan pencarian dikhususkan di kawasan paya, lombong tinggal dan anak sungai.
"Tak berakhir di sini saja, elemen-elemen lain akan masuk balik di kawasan ini dan kita akan kaji balik faktor geografi serta maklumat lain jika ada, kita tidak teragak-agak untuk mengumpulkan pegawai dan anggota.
"Setakat ini dah memadai dan mungkin kita akan tanda kawasan lain pula selepas ini, siasatan masih dijalankan sebagai orang hilang, pihak kami juga tidak menerima maklumat dari pihak tertentu menyatakan dia diculik atau sebagainya," katanya kepada pemberita selepas selesai Ops Kesan khas di Gua Tempurung, di sini pada Sabtu.
Sementara itu, Yahya menambah, pihaknya tidak menerima sebarang rekod berkaitan binatang buas yang menjadi faktor kehilangan Mohammad Ashraf.
"Kita pun ada kaji benda itu kalau dari segi haiwan buas tiada rekod lagi, walaupun kita lihat ini kawasan hutan namun kita yakin ia selamat dan tiada ancaman binatang liar," katanya.
BACA: Keluarga yakin Mohammad Ashraf masih hidup
#Gopeng Ultra Trail #Mohamad Ashraf Hassan #ops kesan #PDRM #pelari hilang #pencarian #petunjuk baharu #polis perak #SAR
;