Ops Jalan Tahun Baru Cina bermula 22 Januari
Anthea Yap
Januari 6, 2017 21:48 MYT
Januari 6, 2017 21:48 MYT
Ops Jalan sempena sambutan Tahun Baru Cina akan bermula pada 22 Januari sehingga 6 Februari depan.
Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, Ops Jalan itu bertujuan meminimumkan kadar kemalangan jalan raya sempena sambutan berkenaan dengan kerjasama Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
"Lebih 1,400 anggota JPJ akan terlibat dalam Ops Jalan dan berada di semua kawasan operasi untuk menjalankan pemeriksaan selain memastikan penguatkuasaan dapat dipertingkatkan," kata selepas melancarkan Kempen Keselamatan Jalan Raya Kawasaki 2017 edisi kedua di Plaza Tol Sungai Besi arah selatan di sini, hari ini.
Beliau berkata Ops Jalan sebelum ini diadakan pada 24 sehingga 26 Disember lepas bersempena perayaan Krismas.
Manakala ia diteruskan pada 30 Disember sehingga 2 Januari bersempena Tahun Baharu 2017.
Liow turut menzahirkan kebimbangan terhadap peningkatan jumlah kemalangan jalan raya apabila sebanyak 489,606 kes dilaporkan pada 2015 berbanding 476,196 kes pada 2014.
"Jumlah kemalangan jalan raya setiap tahun tidak mencatatkan penurunan dengan kadar kematian tidak kurang daripada 6,000 orang setiap tahun sejak 10 tahun lepas," katanya.
Beliau turut menasihati semua pengguna jalan raya di seluruh negara supaya mengamalkan budaya pemanduan berhemah dan selamat ketika di jalan raya.