Ops Ihsan sambut baik resolusi gencatan senjata di Gaza, minta pintu sempadan segera dibuka
Bernama
Jun 11, 2024 18:37 MYT
Jun 11, 2024 18:37 MYT
PUTRAJAYA: Ops Ihsan menyeru agar pintu sempadan segera dibuka untuk penghantaran barangan bantuan kemanusiaan ke Gaza termasuk makanan dan ubatan yang amat diperlukan ketika ini.
Seruan itu dibuat susulan resolusi gencatan senjata di Gaza yang diluluskan Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) semalam.
Pengerusi Ops Ihsan Jismi Johari berkata konflik itu mengakibatkan penduduk Gaza menghadapi pelbagai kesukaran bencana kemanusiaan selama lebih 240 hari dan lebih 37,000 orang syahid manakala puluhan ribu lagi cedera.
"Pembukaan pintu sempadan tanpa had dan sekatan juga perlu agar pasukan perubatan dari luar dapat membantu mereka yang tercedera di dalam Gaza melalui pembinaan hospital sementara dan hospital medan memandangkan khidmat kesihatan di Gaza kini lumpuh akibat kemusnahan hospital-hospital di semenanjung itu," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Jismi berkata Ops Ihsan komited dan bertekad untuk terus memikul amanah daripada rakyat Malaysia dalam mengendali misi kemanusiaan.
Semalam, UNSC dilaporkan meluluskan resolusi yang menyokong cadangan gencatan senjata Gaza yang diumumkan oleh Presiden Amerika Syarikat (AS) Joe Biden. Resolusi yang digubal oleh AS itu disokong 14 daripada 15 negara anggota UNSC dengan Rusia mengambil pendirian berkecuali.
-- BERNAMA