Ops Ihsan kutuk serangan Israel ke atas penduduk Palestin di kem Al-Nuseirat, Gaza
Bernama
Mac 15, 2024 22:44 MYT
Mac 15, 2024 22:44 MYT
KUALA LUMPUR: Sekretariat Utama Ops Ihsan mengecam serangan udara terbaru Israel ke atas kem Al-Nuseirat di tengah Semenanjung Gaza, yang dilaporkan membunuh sekurang-kurangnya tujuh rakyat Palestin yang sedang menunggu untuk mendapatkan bantuan makanan.
Pengerusi Sekretariat Induk Ops Ihsan Jismi Johari dalam kenyataan hari ini berkata pegawai kesihatan Palestin memaklumkan kejadian itu berlaku, ketika petugas dalam persiapan untuk memulakan proses pengagihan barangan asas termasuk pek makanan yang dihantar oleh Ops Ihsan.
"Walau bagaimanapun, tentera Israel dilihat enggan bertanggungjawab terhadap serangan itu," katanya.
Jismi berkata Sekretariat Induk Ops Ihsan dengan tegas mengutuk dan mengecam sekeras-kerasnya tindakan tidak berperikemanusiaan itu di saat rakyat Palestin sedang berusaha mendapatkan keperluan makanan demi kelangsungan hidup.
Beliau berkata konflik Gaza yang berlarutan selama lima bulan menyebabkan sebahagian besar daripada 2.3 juta penduduknya kehilangan tempat tinggal dan terpaksa berebut ketika pengagihan bantuan makanan akibat kelaparan melampau.
-- BERNAMA