Ops Ihsan: Kemasukan barangan bantuan 'disaring' sebelum lepasi pintu Rafah
Astro Awani
Disember 20, 2023 16:00 MYT
Disember 20, 2023 16:00 MYT
KUALA LUMPUR: Pengerusi Sekretariat Ops Ihsan Jismi Johari memaklumkan pihaknya mengambil insiatif mengadakan perbincangan awal dengan Persatuan Bulan Sabit Merah Mesir berkenaan barangan yang berkemungkinan tinggi dapat melepasi pintu Rafah.
Ini kerana koridor kemanusiaan ditaja Amerika Syarikat (AS) mengkehendaki Mesir bekerjasama dengan Israel berhubung barangan yang dibenarkan melepasi masuk ke Gaza.
"Maka, kita tak hantar barang yang kita rasa tak akan melepasi pintu pintu Rafah itu. Antara barang yang kita hantar sekarang ini termasuklah makanan, keperluan bayi, iaitu kita panggil benda-benda ini soft items. Pada penghantaran pertama dan kedua, jumlah (barangan bantuan) adalah 36 tan. Cuma 34 tan dapat melepasi pintu Rafah," katanya.
Beliau berkata demikian dalam Buletin AWANI pada Rabu.
Terdahulu, Jismi memaklumkan dua tan barangan yang tidak dapat melepasi pintu Rafah terdiri daripada barangan berasaskan besi.
Ini termasuk pengusung dan kerusi roda yang mana kesemua barangan itu kini disimpan di gudang Persatuan Bulan Sabit Merah Mesir di Arish.
Semalam, Pesawat MASKargo yang membawa 60 tan barangan bantuan misi ketiga Ops Ihsan selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa El-Arish, Mesir.