Ops Gegar: Pusat hiburan di Taman Ipoh diserbu, lebih 20 warga asing ditahan

Amirrul Rabbani
Januari 11, 2023 23:10 MYT
Jabatan Imigresen Perak menahan lebih 20 warga asing, termasuk seorang warga tempatan dalam satu serbuan di sebuah pusat hiburan di Jalan Canning Estate, Taman Ipoh, awal pagi Rabu. - Foto ihsan Jabatan Imigresen Perak
IPOH: Jabatan Imigresen Perak menahan lebih 20 warga asing, termasuk seorang warga tempatan dalam satu serbuan di sebuah pusat hiburan di Jalan Canning Estate, Taman Ipoh, dekat sini awal pagi Rabu.
Mereka yang ditahan terdiri daripada 10 wanita warganegara China, 11 wanita (Vietnam) dan seorang wanita (Thailand), lima lelaki (Bangladesh) dan seorang lelaki (Malaysia).
Pengarah Imigresen Perak, Hapdzan Husaini, berkata kesemua mereka yang berumur dalam lingkungan 20 hingga 40 tahun itu ditahan dalam serbuan ‘Ops Gegar’ yang dijalankan sekitar jam 1.25 pagi.
“Ketika operasi, pegawai imigresen berdepan dengan detik cemas ketika masuk ke premis tersebut iaitu telah berdepan dengan seorang lelaki warganegara Malaysia yang cuba menghalang pergerakan masuk pegawai dengan menahan pintu masuk dari sebelah dalam premis.
“Namun kecekapan pegawai operasi, telah berjaya mengawal keadaan dan seterusnya menahan kesemua mereka daripada meloloskan diri,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Hapdzan berkata mereka disiasat di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63, iaitu tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah
Tambahnya, mereka yang ditahan juga turut disiasat di bawah Seksyen 15(1)(c) iaitu tinggal lebih masa serta Peraturan 39 (b) Peraturan-peraturan Imigresen 1963 iaitu melanggar syarat Pas Lawatan dengan bekerja secara tidak sah.
“Jabatan Imigresen Perak akan sentiasa meningkatkan pemantauan dan operasi secara berterusan dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.
“Justeru, orang ramai diseru untuk menyalurkan maklumat dan melaporkan aduan agar tindakan sewajarnya dapat diambil mengikut saluran yang betul,” ujarnya lagi.
#warga asing #Jabatan Imigresen Perak #Ops Gegar #pusat hiburan
;