Ops Daulat: Semuanya ada kemungkinan

Wan Syamsul Amly
Mac 26, 2013 19:48 MYT
"Ada kemungkinan, ada kemungkinan."
Itu jawapan Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar kepada soalan saya tentang apa perlunya individu tertentu dari Sandakan dan Semporna mengirim duit ke Jolo sebagai dana kepada pengganas.
Saya bertanya: "Apakah dengan dana itu, pengganas ada sesuatu perancangan lain terhadap negara?"
Saya lemparkan soalan itu kepada Khalid untuk jawapan yang lebih terperinci kerana orang nombor dua dalam Polis DiRaja Malaysia ini boleh dikira cukup berpengalaman berhadapan isu berkenaan.
Walaupun jawapan pendek itu hanya keluar pada akhir sidang media harian beliau pada Selasa, bagi saya, maknanya agak besar. Beliau sebelum itu pada sidang media berkenaan mendedahkan adanya aktiviti pengiriman wang tersebut.
Dalam hati saya tertanya-tanya: Di mana kesetiaan individu ini kepada negara yang menjadi salah satu rukun wajib yang harus disemat dalam jiwa rakyat negara ini? Apakah mereka tidak bersyukur terhadap nikmat kerajaan, kedamaian dan sumber rezeki yang selama ini dikecapi?
Jika memberi sumbangan kepada pengganas dirasakan sebagai satu kebanggaan, saya kira tidak ada masalah jika hukuman penjara seumur hidup atau mati mandatori dikenakan ke atas individu ini, jika dituduh di mahkamah dan sabit kesalahan kerana bersubahat.
Selepas seminggu di Felda Sahabat, setiap kali berjalan di sekitar kawasan peneroka ini, saya mula merasakan seperti berjalan di kampung sendiri. Beberapa kawasan penempatan sementara juga sudah jadi lokasi persinggahan biasa pada waktu petang. Beberapa penduduk di kawasan sekitar juga sudah jadi sahabat yang boleh dibawa berborak pada waktu makan malam.
Menariknya, isu yang ditimbulkan kurang menyentuh persoalan krisis pencerobohan namun lebih berkisar persoalan tentang pilihan raya umum dan bilakah Parlimen akan dibubarkan. Mungkin mereka sudah lali dengan krisis pencerobohan ini.
Saya mengambil keputusan untuk bersikap neutral dan mendengar sahaja keluhan mereka. Mungkin malam nanti boleh saya ajukan pertanyaan-pertanyaan mereka ke Twitter @NajibRazak untuk tindakan lanjut Perdana Menteri.
Memang susur galur keluarga di sini kebanyakannnya berasal dari Filipina, jika tidak seratus peratus pasti ada 'bau-bau bacang' dari sana, namun realitinya mereka bangga menjadi rakyat negara ini.
Janji mereka utuh — tidak ada apa dapat menggugat kesetiaan kepada negara. Malah, mereka juga mengutuk tindakan penceroboh yang jadi punca kehidupan mereka sekarang huru-hara.
Jadi apa maksud ``ada kemungkinan" yang diucapkan oleh Khalid dalam sidang medianya pada sebelah pagi?
Apakah akan ada serangan pencerobohan kedua? Apakah ada tindak balas untuk membela pengganas? Atau apakah sebenarnya tidak ada apa-apa?
Selepas 21 hari Ops Daulat, semuanya masih "ada kemungkinan".
#Filipina #Lahad Datu #operasi daulat #Ops Daulat #Sabah #Sulu #wan syamsul amly
;