Ops Daulat: Satu mayat pengganas dikeluarkan
Syafique Shuib
Mac 30, 2013 17:08 MYT
Mac 30, 2013 17:08 MYT
Pasukan keselamatan telah mengeluarkan satu mayat pengganas di Tanjung Batu pada jam 11 pagi tadi.
Kata Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hamza Taib, ini adalah mayat pengganas yang terlibat dengan pertempuran bersama pasukan keselamatan pada 6 Mac lepas.
“Mayat itu kini dihantar di hospital Lahad Datu untuk pemeriksaan bedah siasat,” kata Hamza.
Tambah beliau, tiada pertempuran berlaku pada bagi tadi dan keadaan di seluruh negeri Sabah terkawal kecuali di zon operasi yang tertumpu di Labian.
Pada sidang media yang sama, Hamza berkata ketua kampung dan penduduk Kampung Tanjung Labian serta pasukan penilaian kerosakan telah memeriksa kampung berkenaan untuk kerosakan di rumah masing-masing.
“Kami membenarkan penduduk memasuki rumah yang boleh dimasuki supaya mereka boleh berpindah dari pusat pemindahan ke rumah masing-masing,” kata beliau.
Setalah penduduk Kampung Tanjung Labian dan Kampung Tanjung Batu kini dibenarkan pulang, namun penggeledahan akan diteruskan di Sungai Bilis dan Lok Buani.
“Andai operasi itu selesai, kami akan membenarkan penduduk kampung itu pulang, tutup pusat pemindahan dan semua akan kembali seperti biasa,” akhiri beliau.