Ops Daulat: Pasukan keselamatan bertempur dengan pengganas Sulu
Astro Awani
Mac 18, 2013 13:11 MYT
Mac 18, 2013 13:11 MYT
Pasukan keselamatan sekali lagi bertempur dengan saki baki pengganas Sulu di kampung Tanjung Batu, Felda Sahabat 22, pagi tadi.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar dalam sidang media pagi tadi berkata pihaknya percaya ada musuh yang cedera atau terbunuh tetapi beliau belum menerima laporan mengenainya.
Sementara itu, kawasan persisiran pantai Felda Sahabat akan menjadi kawasan pertama pengukuhan pertahanan negara melalui pembinaan pos kawalan baru yang diperkukuh dengan peningkatan kekuatan anggota pasukan keselamatan di bawah Kawasan Keselamatan Khas Timur Sabah (Esscom).
Cadangan itu akan dilaksana dalam masa terdekat.
Dalam pada itu, Panglima Medan Tentera Darat Leftenan Jeneral Datuk Seri Zulkiple Kassim berkata, Ops Pasir yang dilaksanakan Angkatan Tugas Bersama 2 (ATB) bagi mengawal 1,400 kilometer pantai Sabah akan diteruskan walaupun Esscom diwujudkan.
Penyelarasan tugas juga akan dibuat bagi memastikan keselamatan rakyat Sabah terpelihara.