Ops Dadu Kelong: Polis tumpaskan 18 bookie haram
Astro Awani
Julai 5, 2015 07:47 MYT
Julai 5, 2015 07:47 MYT
Polis berjaya menumpaskan 18 bookie haram yang beroperasi di Kelab Lumba Kuda Selangor di Sungai Besi di sini petang Ahad.
'Operasi Dadu Kelong' itu turut menahan 51 individu dipercayai ejen judi lumba kuda berusia antara 19 dan 65 tahun.
Operasi dilakukan Pasukan Tindakan Khas Anti Maksiat, Judi dan Gangsterisme (STAGG) Bukit Aman yang diketuai SAC Khairy Ahrasa bersama 60 pegawai dan anggota.
“Ketika serbuan, kesemua bookie sedang rancak bertaruh dan ada yang cuba menipu pelanggan warga asing yang juga pelancong di kelab terbabit.
“Serbuan ini hasil intipan selama beberapa bulan dan kegiatan bookie haram ini mengganggu pelancong asing yang bertaruh di kelab lumba kuda ini, dan menjadi punca kepada kekurangan pelancong yang bertaruh di kelab ini,” kata Khairy.
Tangkapan membabitkan 40 lelaki dan 10 wanita.
Sejumlah wang tunai hasil pertaruhan serta beberapa peralatan judi turut dirampas.
Risikan mendapati sindiket cuba memujuk pelancong asing untuk bertaruh melalui ejen mereka.
Polis masih mengenal pasti dalang sindiket terbabit.
Kes disiasat mengikut Seksyen 6 (3) Akta Perjudian.
Kesemua tangkapan dan rampasan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Serdang untuk tindakan lanjut.