Ops Catut : 180 premis jual alat elektronik diberi notis NPMB
Umavathi Ramayah
Januari 29, 2021 18:36 MYT
Januari 29, 2021 18:36 MYT
KUALA LUMPUR: Sebanyak 180 premis menjual alat elektronik diberi Notis Pengesahan Maklumat Barangan (NPMB) mengikut Seksyen 21, Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatuan (AKHAP) 2011 setakat Khamis bagi mengenal pasti sekiranya wujud sebarang elemen pencatutan.
Notis tersebut dikeluarkan sehingga semalam menerusi Ops Catut 8.0 (Kelengkapan Elektronik dan Komunikasi) yang bermula 25 Januari hingga 7 Februari depan.
Pengarah Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Azman Adam berkata, ia meliputi 337 barangan kelengkapan elektronik dan komunikasi seperti komputer riba, tablet dan sebagainya.
Beliau memberitahu, pemilik premis diberi tempoh dua hari bekerja untuk mengemukakan semua maklumat dan dokumen yang diperlukan dan sekiranya gagal mematuhi notis tersebut, mereka boleh diambil tindakan di bawah Seksyen 21(5), AKHAP 2011 memperuntukkan denda maksimum RM100,000 bagi pertubuhan dan bagi bukan pertubuhan sehingga RM50,000.
Katanya, mereka juga boleh dikenakan hukuman penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali.
"Kementerian sentiasa memantau harga barangan keperluan ini, supaya peniaga tidak menaikkan harga barangan dengan sewenang-wenangnya khususnya ketika negara sedang dilanda pandemik.
"Mana-mana peniaga yang dikesan mengambil kesempatan menaikkan harga barangan tanpa mematuhi perundangan pencatutan akan diambil tindakan yang tegas," katanya ketika dihubungi Astro AWANI di sini, pada Jumaat.
Mengulas lanjut, Azman memberitahu, mana-mana peniaga yang melakukan kesalahan mencatut boleh dikenakan denda tidak melebihi RM 500,000 sekiranya melibatkan perbadanan dan RM100,000 kepada bukan perbadanan.
"Mereka juga boleh dipenjarakan sehingga tiga tahun atau kedua-duanya sekali," tambahnya lagi.
Sejak 1 Januari lalu katanya, KPDNHEP menerima sebanyak 1,892 aduan berkaitan elektronik.
"Adalah menjadi harapan KPDNHEP agar peniaga tidak melakukan pencatutan sehingga menyebabkan kenaikan harga ke atas kelengkapan elektronik dan komunikasi yang menjadi peralatan pelajar bagi tujuan pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR).
"Pengguna juga diharap dapat menyalurkan aduan kepada KPDNHEP jika merasakan berlaku kenaikan harga yang melampau dan penipuan lain yang dibuat oleh mana-mana peniaga," tambahnya lagi.
Azman menegaskan, KPDNHEP sentiasa memantau harga barangan keperluan supaya peniaga tidak menaikkan harga barangan dengan sewenang-wenangnya khususnya ketika negara sedang dilanda pandemik.