Ops Campur periksa 308 premis, Akta Padi dan Beras diperhalusi - Armizan

Astro Awani
Mac 14, 2025 14:45 MYT
Datuk Armizan Mohd Ali berucap ketika meluncurkan Hari Bersama NGO Kepenggunaan 2025 di Dewan Serbaguna KPDN, Putrajaya pada Jumaat. - Foto Astro AWANI/Shahir Omar
PUTRAJAYA: Sebanyak 308 premis pembungkus dan pengilang beras import diperiksa melibatkan 99 sampel dalam Ops Campur setakat Jumaat.

Ringkasan AI
  • Sebanyak 308 premis pembungkus dan pengilang beras import diperiksa, dengan 99 sampel diambil dalam Ops Campur. 17 sampel telah diserahkan kepada MARDI untuk ujian makmal bagi mengesan DNA beras tempatan.
  • Akta Kawalan Padi dan Beras 1994 mempunyai peruntukan yang tidak jelas, menyukarkan tindakan terhadap kes percampuran beras tempatan dan import. Kementerian Pertanian sedang mereformasi akta ini.
  • Untuk melindungi pengguna, Akta Perihal Dagangan 2011 digunakan untuk mendakwa kesalahan dagangan palsu, seperti menjual beras import yang dicampur dengan beras tempatan.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Armizan Mohd Ali berkata, 17 sampel sudah diserahkan kepada Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) untuk menjalani ujian makmal.
“Menerusi teknologi pencapjarian, sekiranya ditemukan kehadiran asid deoksiribonukleik (DNA) beras tempatan di dalam sampel beras import tersebut, tindakan selanjutnya akan diambil untuk membawa pesalah ke muka pengadilan,” ujarnya.
Beliau berkata sedemikian dalam satu sidang media selepas merasmikan Hari Bersama NGO Kepenggunaan 2025 di Dewan Serbaguna KPDN, di sini pada Jumaat.
Seterusnya Armizan berkata peruntukan tidak jelas di bawah Akta Kawalan Padi dan Beras 1994 (Akta 522) antara sebab yang menyukarkan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan mengambil tindakan bagi kes percampuran beras tempatan dan beras import.
“Terdapat banyak perintah di bawah Akta 522 seperti kawalan harga beras dan sebagainya, namun selepas proklamasi darurat pada tahun 1969, sebahagian perintah itu terhenti kuatkuasanya secara automatik.
“Atas sebab ini banyak perkara berkaitan industri padi dan beras yang perlu dilihat semula.
“Kementerian Pertanian pada masa ini sedang dalam proses mereformasi termasuk membuat pindaan bagi Akta Kawalan Padi dan Beras 1994,” terangnya.
Justeru, bagi melindungi kepentingan rakyat dan pengguna, Akta Perihal Dagangan 2011 (Akta 730) digunakan untuk mendakwa kegiatan mencampur beras ini.
“Di bawah Akta 730, ada peruntukan yang melihat kepada kesalahan dagangan palsu.
“Misalnya dalam situasi ini, pihak tertentu menjual beras yang dilabel beras import, tetapi ternyata ada kandungan beras tempatan di dalamnya, maka dia boleh didakwa dengan perihal dagangan palsu.
“Demikian itu setelah perbincangan, KPDN diputuskan untuk menggunakan Akta Perihal Dagangan 2011 bagi menangani segera isu berbangkit,” katanya lagi.
#beras campur #KDPN #beras import #beras tempatan #Armizan Mohd Ali #terkini
;