Ops BAH: Perjudian haram di pusat hiburan berjaya ditumpaskan

Astro Awani
April 30, 2016 14:32 MYT
Wanita-wanita yang ditahan juga diambil keterangan untuk tindakan lanjut dan semua barangan rampasan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi.
Bersembunyi di sebalik operasi sebagai pusat hiburan, aktiviti perjudian yang dilakukan di premis sama akhirnya terbongkar apabila diserbu pihak berkuasa pada Sabtu pagi.
Dalam operasi yang diketuai Kementerian Wilayah Persekutuan bersama beberapa agensi di Jalan P. Ramlee di ibu negara itu berjaya merampas 20 set komputer dan mesin slot perjudian.
Bertindak atas maklumat dan risikan, premis berkenaan diserbu dalam operasi bersepadu Banteras Aktiviti Haram (BAH) siri ke-23.
Ketua Setiausaha Kementerian Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Adnan Md Ikhsan berkata, lapan wanita Islam tempatan telah ditahan kerana bekerja sebagai GRO, serta beberapa kad langganan juga ditemui.
“Wanita-wanita Islam ini bekerja di tempat itu, dan ini memang menyalahi (undang-undang Syariah).
“Ada juga sebahagiannya mengambil minuman keras atau dadah, jadi ini memang gejala tidak sihat yang saya kira kita harus beri perhatian yang serius,” kata beliau kepada pemberita.
Siasatan mendapati, tips oleh pelanggan adalah berdasarkan layanan yang diberikan GRO berkenaan.
Wanita-wanita yang ditahan juga diambil keterangan untuk tindakan lanjut dan semua barangan rampasan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi.
Operasi yang berakhir jam 4 pagi itu disertai anggota daripada pelbagai agensi antaranya Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Polis Diraja Malaysia, Jabatan Imigresen dan Agensi Anti Dadah Kebangsaan serta Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI).
#Adnan Md Ikhsan #Kementerian Wilayah #Ops Bah #perjudian #polis #pusat hiburan
;