Ops Anai-Anai Laut: Lapan bot diarah patah balik
Sinar Harian
September 9, 2022 12:45 MYT
September 9, 2022 12:45 MYT
KUALA TERENGGANU: Lapan buah bot pelancong ke pulau peranginan di negeri ini diarah berpatah balik kerana membawa penumpang melebihi muatan dibenarkan dalam Operasi Anai-Anai Laut yang diadakan selama lima hari bermula 4 September lalu.
Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Terengganu, Kepten Maritim Muhammad Suffi Mohd Ramli berkata, kesalahan tersebut dikesan hasil daripada 95 pemeriksaan yang dilakukan terhadap operasi bot pelancong.
Menurutnya, operasi di perairan Besut, Merang dan sekitar pulau peranginan itu memberi tumpuan kepada penguatkuasaan dan pematuhan undang-undang seperti lesen, bot penumpang serta pemakaian jaket keselamatan kerana aspek itu sering diambil mudah oleh pengusaha dan pelancong terutama di musim cuti sekolah.
“Melalui pemeriksaan itu, majoriti kesalahan adalah membawa lebih muatan penumpang dan bot ini diarah berpatah balik ke jeti serta menurunkan penumpang mengikut jumlah dibenarkan dalam buku lesen, memakai jaket keselamatan selain diberikan amaran tegas.
“Kebanyakan pengusaha bot yang menawarkan pakej harian daripada Kuala Besut, pantai Penarik dan Merang ini mengambil kesempatan dalam cuti sekolah memandangkan permintaan tinggi hingga sanggup mengabaikan aspek keselamatan.
“Kita kesal kerana sikap ingin mengaut keuntungan sehingga sanggup membawa muatan penumpang berlebihan boleh menyebabkan insiden dan kemalangan tidak diingini,” katanya dalam satu kenyataan di sini pada Jumaat.
Muhammad Suffi berkata, Op Anai-Anai Laut dilancarkan bagi memantapkan kesiapsiagaan operasi Mencari dan Menyelamat (Ops Carilamat) serta meningkatkan tahap kesedaran komuniti maritim tentang aspek keselamatan di laut.
Katanya, ia juga bertujuan mengukuhkan penguatkuasaan dengan meningkatkan kesiapsiagaan aset-aset, keanggotaan dan penguatkuasaan terutamanya di kawasan pelancongan seperti pantai dan pulau peranginan di sekitar Terengganu.
“Kejadian Carilamat di perairan Terengganu menunjukkan peningkatan dengan 17 kes direkodkan sepanjang tahun ini berbanding 10 kes tahun lepas dan ini membimbangkan kerana turut melibatkan kehilangan nyawa serta harta benda.
“Oleh kerana cabaran dan insiden menunjukkan penambahan, Ops Anai-anai Laut akan dilaksanakan setiap tahun bermula tahun ini,” katanya yang turut menyebarkan hebahan dan maklumat kesedaran keselamatan di laut kepada pengunjung. -Sinar Harian
#Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia
#Muhammad Suffi Mohd Ramli
#Operasi Anai-Anai Laut
#pulau peranginan