OPR semasa sesuai dengan keadaan ekonomi kukuh - BNM

Bernama
Julai 6, 2023 17:13 MYT
Ekonomi Malaysia terus berkembang berikutan tahap pendapatan dan pekerjaan terus menggalakkan serta terus menyokong perbelanjaan isi rumah. -Gambar fail/Wikipedia
KUALA LUMPUR: Kadar Dasar Semalaman (OPR) yang dikekalkan pada 3.00 peratus adalah sesuai dengan keadaan ekonomi yang kukuh, dengan pembiayaan kekal tersedia berikutan pertumbuhan kredit yang berterusan, kata Bank Negara Malaysia (BNM).
Dalam ringkasan pernyataan dasar monetari Julai 2023 yang dikeluarkan hari ini, bank pusat berkata ekonomi Malaysia terus berkembang berikutan tahap pendapatan dan pekerjaan terus menggalakkan serta terus menyokong perbelanjaan isi rumah.
Menurutnya pada masa sama bilangan pelancong semakin banyak, lantas menyokong perniagaan tempatan, manakala projek berskala besar terus berjalan dengan lancar.
Bagaimanapun, BNM menjelaskan eksport akan menjadi lebih rendah disebabkan oleh pertumbuhan global yang lebih perlahan.
Menurut bank pusat, inflasi menjadi sederhana, namun kekal tinggi disebabkan faktor permintaan dan kos.
Pada masa depan, bank pusat berkata ekonomi Malaysia akan terus berkembang, manakala inflasi akan menurun secara beransur-ansur sepanjang tahun ini.
"BNM terus memantau perkembangan inflasi dan pertumbuhan serta memastikan OPR terus menyokong pertumbuhan dan pada masa yang sama terus mengawal inflasi," katanya.
-- BERNAMA
#Bank Negara Malaysia #OPR #kadar dasar semalaman #pertumbuhan kredit yang berterusan
;