OPR naik, BNM perlu proaktif beri penjelasan - Shahril Hamdan

Faida Rahim
Mei 9, 2023 00:30 MYT
Shahril memberitahu pernah dikecam ketika beliau menjawat jawatan pengarah ekonomi pada tahun 2021. - Gambar fail/BERNAMA
KUALA LUMPUR: Bank Negara Malaysia (BNM) disarankan untuk mengambil peranan lebih proaktif terutama dalam memberi penjelasan kepada masyarakat terutama peminjam dalam menjelaskan peningkatan kadar dasar semalaman (OPR).
Bekas Pengarah Ekonomi di Pejabat Perdana Menteri Shahril Sufian Hamdan berpendapat kritikan diterima kesan peningkatan OPR tidak seharusnya dituju kepada Perdana Menteri memandangkan hak dan kuasa keputusan adalah di bawah BNM.
"Ya. kita menyokong kebebasan Bank Negara melaksanakan dasar monetari terutama penetapan kadar faedah. Tetapi mungkin boleh juga kalau kita imbau apa yang berlaku dalam setahun lebih ini. Semua orang dah 'kena', maknanya sekarang Pakatan Harapan dah dikritik, zaman Perikatan Nasional, zaman Ismail Sabri pun dah dikritik.
"Kita boleh ambil kesempatan di sini untuk kata. 'padan muka dulu PH you punya penyokong you marah marah kata OPR naik, sekarang you kata bukan tanggungjawab Kerajaan'. Tapi kita bukan nak buat macam tu. Lebih baik produktif memikirkan untuk masa depan (selepas ini)," katanya ketika ditanya oleh Bekas Ketua Pemuda UMNO Khairy Jamaluddin mengenai pendapat kenaikan OPR menerusi siaran podcast Keluar Sekejap pada Selasa.
Tambah Shahril, sudah tiba masa untuk pihak Bank Negara mengambil peranan proaktif dalam soal komunikasi.
"Kerana kalau kita kata ini adalah tanggungjawab BNM adalah hak BNM, kuasa BNM, penting juga untuk kebertanggungjawaban (accountabily) untuk dikongsi lebih banyak.
"Bukan hanya dia buat keputusan kemudian Perdana Menteri dan Menteri Kewangan terpaksa explain atau menerima pukulan politik hasil keputusan itu," katanya.
Dalam pada itu, Shahril memberitahu pernah dikecam berhubung kewangan negara ketika beliau menjawat jawatan pengarah ekonomi pada tahun 2021.
Beliau turut memberi contoh gabenor di Amerika Syarikat dan United Kingdom mengambil tanggungjawab menjawab persoalan dan kritikan dengan berdepan subcommittee dari parlimen di negara itu.
#Bank Negara Malaysia #Khairy Jamaluddin #Shahril Sufian Hamdan #OPR
;