Operator kilang maut, inspektor polis wanita parah kereta bertembung
Astro Awani
Jun 20, 2020 10:31 MYT
Jun 20, 2020 10:31 MYT
Seorang lelaki maut manakala inspektor polis wanita parah dalam kemalangan membabitkan dua kenderaan di Persiaran Mokhtar Dahari, Puncak Alam, pada malam Jumaat.
Mohd Shahzalie Ibrahim, 30, yang bekerja sebagai operator kilang meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah pada kepala dan beberapa bahagian badan dalam kejadian jam 7 malam itu.
Pegawai polis wanita itu pula mengalami kecederaan pada pinggang, kepala dan kaki akibat tersepit dalam keretanya yang remuk sebelum dihantar ke Hospital Shah Alam untuk rawatan.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Baharuddin Mat Taib, berkata kejadian dipercayai berlaku apabila kenderaan Mohd Shahzalie hilang kawalan lalu terbabas ke laluan bertentangan dan bertembung dengan kereta dipandu wanita berkenaan.
"Polis masih menyiasat lanjut dan sedang mendapatkan keterangan saksi untuk mengenal pasti punca sebenar kejadian itu," katanya di sini.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.