Operator feri akan diberi subsidi diesel, janji jangan naik tambang - Loke
Khalis Khadir
Disember 20, 2024 15:40 MYT
Disember 20, 2024 15:40 MYT
PUTRAJAYA: Kerajaan akan memberi subsidi diesel kepada pengusaha feri dan bot penumpang serta perkhidmatan feri RORO di beberapa pulau utama negara berkuat kuasa 1 Januari 2025.
Menurut Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, tuntutan pertama boleh dikemuka oleh pengusaha yang terlibat pada atau sebelum 20 Februari 2025.
“Harga siling diesel bersubsidi bagi feri dan bot penumpang serta perkhidmatan feri RORO di pulau-pulau utama ditetapkan pada RM2.50 seliter dengan kadar maksimum subsidi 50 sen seliter.
“Subsidi diesel ini akan dibekalkan di laluan-laluan strategik perkhidmatan berkenaan iaitu di Wilayah Persekutuan Labuan, Pulau Langkawi, Pulau Pangkor, Pulau Ketam, Pulau Tioman, Pulau Redang dan Pulau Pinang,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu sidang media, di sini, pada Jumaat.
Dalam masa sama, Loke menegaskan, operator yang menaikkan tambang akan dikecualikan daripada menerima subsidi ini.
“Mereka akan dikecualikan atau tidak diberi bantuan subsidi diesel jika mereka naikkan kadar tambang. Jika mereka mahu bantuan ini yang akan meringankan beban mereka, mereka perlu pastikan tidak naikkan tambang. Kita akan pantau,” ujarnya.
Di bawah kelulusan ini, Loke menjelaskan, pengusaha yang layak perlu mematuhi tiga syarat bagi membolehkan mereka menikmati subsidi diesel.
Antaranya ialah pengusaha feri dan bot penumpang serta feri RORO mesti berdaftar dengan Jabatan Laut Malaysia dan mendapat bekalan diesel daripada syarikat bunker atau skid tank yang disahkan pihak berkuasa.
Kedua ialah pengusaha yang layak perlu mengemuka permohonan kuota pembelian diesel kepada Jawatankuasa Kelulusan Subsidi Diesel (JKSD) di Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).
”Tuntutan subsidi diesel perlu dibuat secara bulanan berdasarkan kadar yang telah ditetapkan oleh Kementerian Kewangan pada setiap bulan.
“Ia perlu mengemukakan dokumen tuntutan yang disahkan oleh Jabatan Laut Malaysia ke Kementerian Kewangan serta satu salinan kepada stesen Kastam terdekat untuk proses verifikasi tidak lewat daripada 20 hari bulan bagi bulan berikutnya,” ujarnya.
Loke turut menyeru pengusaha feri untuk meningkatkan kualiti perkhidmatan dan aspek keselamatan agar subsidi yang diberi nanti dimanfaatkan sebaik mungkin.