Operator e-hailing digesa galakkan pemandu teksi sertai mereka
Bernama
Ogos 21, 2018 16:54 MYT
Ogos 21, 2018 16:54 MYT
Operator perkhidmatan e-hailing harus meningkatkan usaha menggalakkan lebih ramai pemandu teksi mendaftar dengan platform mereka, kata Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook.
Beliau berkata migrasi kepada perkhidmatan e-hailing adalah seiring dengan trend global dan berharap langkah itu juga akan menamatkan persengketaan di antara pemandu teksi dan perkhidmatan e-hailing, sekali gus menambah baik industri pengangkutan awam negara.
"Saya merayu kepada penyedia perkhidmatan e-hailing agar lakukan yang terbaik untuk menggalakkan pemandu teksi sertai anda.
"Kita tidak mahu penyedia perkhidmatan e-hailing dan pemandu teksi terus berada dalam persekitaran ang menyaksikan masing-masing saling menganggap sebagai musuh dan pesaing.
"Sudah tiba masa untuk semua operator bekerja bersama," katanya semasa berucap melancarkan perkhidmatan e-hailing baharu 'Diffride', di sini hari ini.
Diffride, satu jenama tempatan, menyasarkan untuk menyediakan perkhidmatan terbaik kepada mereka yang memerlukan pengangkutan di sekitar Lembah Klang sambil pada masa turut mengutamakan keperluan pemandunya.
Menerusi aplikasi baharu ini, pemandu hanya perlu membayar kadar rata RM5 sehari kepada penyedia perkhidmatan.
Sementara itu, Loke berkata operator perkhidmatan e-hailing juga harus mengambil inisiatif mendekati dan bekerjasama dengan persatuan teksi dalam usaha memperkenalkan teknologi baharu kepada pemandu teksi.
Beliau berkata persatuan-persatuan berkenaan arif tentang industri dan pada masa sama boleh membantu penyedia e-hailing menambah baik perkhidmatan mereka.
"Dekati mereka (persatuan teksi) untuk memperkenalkan teknologi dan saya pasti dengan pakej menarik yang anda tawarkan, mereka akan mendaftar," katanya.
#Anthony Loke
#diffride
#e-hailing
#Loke Siew Fook
#operator perkhidmatan
#penyedia perkhidmatan
#persatuan teksi
#RM5 sehari
#teknologi
#teksi