Operasi tumpu kenderaan berat bermula hari ini - Polis KL
Sinar Harian
September 21, 2023 13:06 MYT
September 21, 2023 13:06 MYT
KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan mempertingkatkan operasi ke atas semua kenderaan berat di Kuala Lumpur bermula hari ini.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Allaudeen Abdul Majid berkata, meskipun operasi harian dilaksanakan oleh PDRM, namun pemeriksaan lebih menyeluruh akan dilakukan bersama agensi lain termasuk Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).
Beliau berkata, pemeriksaan bersama JPJ itu akan menumpukan kepada kenderaan perdagangan.
"Walaupun ada laluan waktu terhad bermula jam 6.30 hingga 9.30 pagi di pusat bandar, namun polis akan turut memberi keutamaan membuat pemeriksaan di luar waktu terhad tersebut.
"Selain itu, operasi akan dipertingkat di laluan-laluan masuk ke Putrajaya dari Puchong, Selangor.
"Operasi ke atas kenderaan berat ini juga mendapat kerjasama daripada pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Jabatan Alam Sekitar (JAS)," katanya dalam satu sidang akhbar pada Khamis.
Beliau berkata demikian selepas meninjau pelaksanaan Operasi Hormat Undang-Undang Jalan Raya Polis Kuala Lumpur fasa kedua yang bermula 15 September lalu.
Mengulas lanjut, Allaudeen berkata, sekiranya berlaku pelanggaran peraturan oleh kenderaan berat, tindakan tegas termasuk sitaan akan dilaksanakan.
Tegasnya, tiada sebarang kompromi dan pemberian diskaun akan diberikan kepada pesalah dalam operasi tersebut.
"Sama seperti Operasi Hormat Undang-Undang Jalan Raya Polis Kuala Lumpur fasa pertama, kita masih mengekalkan tiada diskaun ditawarkan kepada pesalah semasa operasi ini dilakukan," ujarnya.
https://www.sinarharian.com.my/article/280130/berita/semasa/awas-kenderaan-berat-bermasalah