Operasi tren Rapid KL hingga 11 malam mulai esok - Prasarana
Bernama
Februari 10, 2021 16:21 MYT
Februari 10, 2021 16:21 MYT
KUALA LUMPUR: Perkhidmatan rel kendalian Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) akan beroperasi mulai 6 pagi hingga 11 malam bermula esok berikutan lanjutan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) hingga 18 Feb ini.
Prasarana dalam kenyataan hari ini memaklumkan sepanjang tempoh tersebut, kekerapan di luar waktu puncak perkhidmatan rel Rapid KL juga akan diubah kepada setiap 15 minit manakala kekerapan pada waktu puncak kekal seperti biasa.
"Perubahan ini meliputi jajaran tren bagi LRT (Transit Aliran Ringan) Laluan Kelana Jaya, LRT Laluan Ampang/Sri Petaling, MRT (Transit Aliran Massa) Laluan Kajang dan Laluan Monorel KL.
"Semua pengguna perkhidmatan rel Rapid KL dinasihatkan agar merancang perjalanan mereka," menurut kenyataan itu.
Prasarana turut menggalakkan para pengguna supaya sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan khususnya memakai pelitup muka sepanjang masa, sentiasa mencuci tangan dengan cecair pembasmi kuman serta mengambil suhu badan dan mendaftar dengan aplikasi MySejahtera atau di buku log sebelum memasuki tren.
"Langkah-langkah ini adalah penting bagi memutuskan rantaian penularan wabak COVID-19 di samping memudahkan Kementerian Kesihatan membuat pengesanan semula sekiranya terdapat kes positif COVID-19," tambahnya.
-- BERNAMA
#operasi tren
#perkhidmatan rel
#prasarana
#Prasarana Malaysia Berhad
#perintah kawalan pergerakan
#PKP
#LRT
#MRT
#monorel
#SOP