Operasi tren di Pantai Timur terjejas, KTMB aktifkan bilik gerakan banjir

Bernama
November 28, 2024 15:45 MYT
KTMB membatalkan perkhidmatan tren demi keselamatan penumpang dan akan memberikan pemulangan tambang penuh kepada penumpang yang terkesan.
KUALA LUMPUR: Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) memaklumkan perkhidmatan tren KTM Intercity di laluan Pantai Timur terjejas akibat banjir dan kejadian tanah mendap di beberapa kawasan yang turut menjejaskan operasi tren penumpang.

Ringkasan AI
  • Perkhidmatan tren KTM Intercity di laluan Pantai Timur terjejas akibat banjir dan kejadian tanah mendap, menyebabkan pembatalan beberapa tren termasuk Ekspres Rakyat Timuran No 27.
  • KTMB membatalkan perkhidmatan tren demi keselamatan penumpang dan akan memberikan pemulangan tambang penuh kepada penumpang yang terkesan.
  • KTMB mengaktifkan bilik gerakan banjir dan bekerjasama dengan agensi berkaitan untuk memantau situasi dan menyediakan bantuan kepada mangsa banjir di stesen-stesen KTMB.

KTMB dalam kenyataan memaklumkan kawasan dikenal pasti tidak selamat untuk perkhidmatan kereta api akibat paras air melebihi tahap rel adalah di KM493 hingga KM490.85 antara Pasir Mas dan Tanah Merah.
Berikutan itu, perkhidmatan KTM Intercity ke Pantai Timur membabitkan tren Ekspres Rakyat Timuran No 27 bagi laluan JB Sentral-Tumpat dibatalkan mulai malam tadi.
"Pada hari ini, perkhidmatan lain yang turut terjejas termasuk Ekspres Rakyat Timuran No 26 dan No 27 (JB Sentral-Tumpat-JB Sentral) serta Shuttle Timuran (Kuala Lipis-Gua Musang-Tumpat) akibat ditenggelami banjir," menurut kenyataan itu.
Sementara itu, Ketua Pegawai Operasi KTMB Mohd Zain Mat Taha berkata perkhidmatan tren terpaksa dibatalkan demi keselamatan penumpang dan pihaknya akan memaklumkan perkembangan terkini dari semasa ke semasa.
Beliau berkata bagi penumpang terkesan dan tidak meneruskan perjalanan, KTMB akan memberikan pemulangan tambang penuh, manakala pemakluman mengenai penutupan laluan serta maklumat terkini akan disalurkan secara berterusan melalui khdimat pesanan ringkas (SMS) dan hebahan di media sosial rasmi KTMB.
Mohd Zain berkata sebagai langkah responsif, KTMB telah mengaktifkan bilik gerakan banjir di sektor Pantai Timur untuk memantau pergerakan tren dan memberikan kemas kini situasi.
"KTMB juga bersedia dengan pelan bantuan untuk mangsa banjir di stesen-stesen KTMB bagi memastikan bantuan disalurkan dengan pantas dan sistematik.
"KTMB menjalankan pemantauan risiko banjir dengan merujuk laporan harian daripada Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia). Keutamaan turut diberikan kepada lokasi yang kerap terjejas akibat banjir," katanya.
Selain itu, KTMB terus bekerjasama rapat dengan agensi berkaitan seperti Agensi Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) bagi memastikan tindakan penyelamatan dan pengurusan insiden dapat dilaksanakan dengan efisien.
KTMB turut menggerakkan aset kritikal seperti troli rel untuk memantau paras air di laluan utama dan kawasan berisiko tanah runtuh. Pelbagai peralatan tambahan termasuk peralatan keselamatan, komunikasi dan bantuan kecemasan telah disediakan untuk kegunaan semasa banjir.
Orang ramai boleh mendapatkan maklumat lanjut atau pertanyaan melalui Pusat Panggilan KTMB di 03-9779 1200, laman sesawang rasmi di www.ktmb.com.my, atau saluran media sosial rasmi KTMB.
-- BERNAMA
#banjir #KTMB #KTM Intercity #Pantai Timur #MetMalaysia #tanah runtuh
;