Operasi tiga syarikat penerbangan Malaysia terjejas akibat jerebu

Bernama
September 15, 2015 14:08 MYT
Media Indonesia melaporkan IPU di Riau turut menjejaskan aktiviti ekonomi dan sosial termasuk di lapangan terbang tersebut lumpuh. - Gambar fail
Operasi tiga syarikat penerbangan Malaysia dan Indonesia ke Pekanbaru, Riau, Indonesia serta ke Kertih, Terengganu terjejas akibat keadaan jerebu yang semakin teruk.
Penerbangan AirAsia dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2) ke Pekanbaru yang dijadualkan berlepas pada 10.50 pagi tadi ditunda hingga ke satu tarikh yang akan ditentukan kemudian berikutan Riau diisytiharkan sebagai kawasan darurat setelah mencapai Indeks Pencemaran Udara (IPU) melebihi 1,000.
Pengurus Perhubungan Awam AirAsia dan AirAsia X Daphne Cheah Ui Jen ketika dihubungi Bernama mengesahkan penerbangan pesawat AirAsia ke lokasi itu masih tergendala sehingga kini akibat IPU yang melebihi 1,000 yang mengakibatkan tahap penglihatan tidak sampai 100 meter.
"Jarak penglihatan yang kurang dari tahap minimum yang ditetapkan ini akan menjejaskan pendaratan pesawat di Lapangan Terbang Internasional Sultan Syarif Kasim II di Riau," katanya.
Beliau berkata pengumuman penjadualan semula penerbangan pesawat AirAsia akan dimaklumkan kepada penumpang yang terjejas dari semasa ke semasa.
Media Indonesia melaporkan IPU di Riau turut menjejaskan aktiviti ekonomi dan sosial termasuk di lapangan terbang tersebut lumpuh.
Sementara itu, Malindo Air, yang berpangkalan di Petaling Jaya pula membatalkan penerbangan pesawatnya dari Subang ke Kerteh, Terengganu mulai esok hingga Isnin depan berikutan penutupan Lapangan Terbang Antarabangsa Kerteh sejak 8 pagi tadi ekoran keadaan jerebu di daerah itu yang semakin buruk.
Pengarah Perhubungan Awam dan Komunikasi syarikat itu Raja Sa'adi Raja Amrin berkata pembatalan penerbangan itu dilakukan demi menjaga keselamatan penumpang dan anak kapal Malindo Air yang terlibat.
"Penumpang yang telah membeli tiket penerbangan melibatkan pesawat OD1824 pada tarikh terbabit diberi pilihan untuk mendapat pulangan wang atau menukar tarikh penerbangan ke tarikh lain bermula Selasa depan," katanya di sini hari ini.
"Setakat ini, kebanyakan penumpang meminta supaya tarikh penerbangan ditukar memandangkan penutupan lapangan terbang kerana jerebu dan bukannya masalah teknikal," katanya.
Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif Firefly Ignatius Ong berkata semua penerbangan dari Subang ke Kerteh pada hari ini dilencongkan ke Lapangan Terbang Sultan Mahmud, Kuala Terengganu.
"Penerbangan yang dilencongkan melibatkan pesawat FY2006, dan syarikat itu telah menyediakan perkhidmatan bas untuk membawa penumpang ke Kerteh secara percuma," katanya.
Penutupan lapangan terbang itu turut menjejaskan operasi helikopter yang membawa kru luar pantai syarikat minyak dan gas di daerah tersebut.
Arahan penutupan lapangan terbang itu dikeluarkan oleh Jabatan Penerbangan Awam (DCA) selepas jarak penglihatan di kawasan itu merosot di bawah 800 meter.
Semua penerbangan ditangguhkan sehingga DCA mengesahkan keadaan kembali pulih dan selamat.
Setakat 6 petang tadi, IPU di Kemaman meningkat kepada 192 berbanding 176 pada jam 9 pagi tadi.
#Indonesia #jerebu #KLIA2 #lapangan terbang #Pekanbaru #penerbangan #tergendala