Operasi SAR: Sektor pencarian diperluas 134.28 batu nautika
Nuzuluddin Abdul Razak
September 19, 2022 13:52 MYT
September 19, 2022 13:52 MYT
KUCHING: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) seorang penunggang jetski yang hilang di perairan laut Pulau Talang-Talang, Sematan diperluaskan merangkumi 134.28 batu nautika persegi.
Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Sarawak, Laksamana Pertama Maritin Zin Azman Md Yunus berkata, operasi SAR yang masuk hari ketiga itu tertumpu kepada petunjuk peralatan mangsa yang ditemukan di sekitar perairan Tanjung Sipang, Santubong.
“Operasi ini akan dikoordinasikan oleh Pusat Penyelaras Mencari dan Menyelamat Maritim (MRSC) Kuching, Maritim Malaysia dan operasi tertumpu pada petunjuk yang ditemui iaitu Jetski milik mangsa iaitu sekitar perairan Tanjung Sipang, Santubong.
“Setakat ini jumlah keseluruhan sektor pencarian yang dilaksanakan oleh anggota keselamatan adalah seluas 587.48 batu nautika persegi dan Pangkalan Hadapan Carilamat ditempatkan di Jeti Jabatan Perikanan Laut Sarawak, Santubong,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Tambah Zin, cuaca dan keadaan laut dilaporkan pada keadaan yang baik untuk operasi SAR digerakkan melibatkan kekuatan pasukan penyelamat seramai 104 orang termasuk orang awam.
“Arah angin bertiup dari barat barat daya dengan kelajuan angin 20 hingga 30 kilometer (km) sejam serta ketinggian ombak setinggi 1.0 meter hingga 1.5 meter," katanya.
Setakat ini tiada sebarang petunjuk baru ditemui oleh pasukan penyelamat selepas jetski mangsa ditemui pada Sabtu sekitar jam 5.30 petang di kawasan Tanjung Sipang, Santubong.
Terdahulu mangsa dikenali sebagai Lee Chong Long, 46 tahun dilaporkan hilang selepas melakukan pandu uji jetski di perairan laut Pulau Talang-Talang sebelum dilaporkan hilang oleh rakannya pada Jumaat.
Kehilangan mangsa disedari rakannya selepas mangsa tidak kelihatan ketika mereka dalam perjalanan pulang dari pulau berkenaan ke Jeti Pak Amit Santubong lokasi awal mereka berlepas.