Operasi SAR polis, suspek dikhuatiri lemas diteruskan pagi ini

Bernama
November 10, 2018 10:00 MYT
Ketika kejadian, Wan Mohd Arif (gambar kecil) bersama tiga lagi rakannya sedang mengejar suspek sebelum tergelincir dan terjatuh ke Sungai Paka. - Foto Sinar Harian
Operasi mencari dan menyelamat seorang anggota polis dan seorang suspek yang dikhuatiri lemas di Sungai Paka dekat Dungun diteruskan pada 7 pagi ini.
Ketua Polis Daerah Dungun, Supt Baharudin Abdullah berkata operasi turut disertai Unit Skuba dari Balai Bomba dan Penyelamat Chukai, Kemaman.
"Operasi malam tadi terpaksa dihentikan pada pukul 3.15 pagi kerana cuaca di persekitaran sungai itu sangat gelap dan berkabus.
"Kita berharap operasi pagi ini akan berjalan lancar dan berjaya menemui anggota polis serta suspek tersebut," katanya ketika dihubungi Bernama.
BACA: Polis, penjenayah hilang dalam arus deras
Dalam kejadian di kampung Durian Mentangau, Dungun malam tadi, anggota polis tersebut, Konstabel Wan Mohd Arif Wan Yahya, 28, bersama tiga lagi rakannya sedang mengejar suspek dikenali sebagai Zam Ayam sebelum tergelincir dan terjatuh ke Sungai Paka.
Suspek tersebut dipercayai terlibat dalam kejadian kes samun di Kampung Limbong dekat Paka, Khamis lalu.
-- BERNAMA
#Baharudin Abdullah #bomba #Dungun #Kemaman #lemas #operasi #polis #samun #suspek #Wan Mohd Arif Wan Yahya #Zam Ayam
;