Operasi SAR penumpang jatuh feri ditangguhkan

Dewi Nur Harasha Alias
Februari 15, 2019 15:03 MYT
Paparan skrin dari video yang diambil oleh orang ramai menunjukkan mangsa berada jauh dari feri dan dalam keadaan terkapai-kapai.
Operasi mencari dan menyelamat (SAR) seorang penumpang yang dipercayai terjatuh dari Feri Pulau Undan di sini, pagi Jumaat, ditangguhkan pada jam 7.30 malam tadi.
Jurucakap Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) berkata, operasi SAR itu akan disambung semula pada jam 7.30 pagi Sabtu.
Sementara itu, Rapid Ferry Sdn Bhd, anak syarikat Prasarana Malaysia Bhd yang mengendali Feri Pulau Pinang, telah memulakan siasatan dalaman berhubung insiden tersebut.
Jurucakap Rapid Ferry dalam satu kenyataan berkata, berdasarkan siasatan, salah seorang penumpang Feri Pulau Undan yang sedang dalam perjalanan ke Pengakalan Sultan Abdul Halim telah melihat seorang individu sedang lemas di laut.
Katanya, menurut saksi tersebut, mangsa berada jauh dari kedudukan feri ketika kejadian.
Berikutan itu, saksi terbabit bertindak memaklumkan kru feri dan Kapten feri itu segera memaklumkan kepada pusat kawalan.
Kru Pulau Undan kemudian cuba menyelamatkan mangsa dengan mencampakkan pelampung namun mangsa kemudiannya hilang dan tidak dapat dikesan.
Dalam kejadian kira-kira pukul 9.20 pagi itu, mangsa yang masih belum dikenal pasti identitinya dikatakan terjatuh di 0.8 batu nautika barat laut Terminal Feri Butterworth.
Operasi SAR digerakkan kira-kira pukul 9.50 pagi sebaik menerima laporan.
Seramai 28 pegawai dan anggota daripada pelbagai agensi termasuk daripada pasukan Bomba dan Penyelamat, APMM dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia Pulau Pinang terlibat dalam operasi SAR tersebut.
#George Town #jatuh feri #operasi sar #pulau pinang #Rapid Ferry Sdn Bhd