Operasi SAR pelajar hilang di Pulau Mawar dihentikan
Bernama
Februari 8, 2023 21:50 MYT
Februari 8, 2023 21:50 MYT
MERSING: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) seorang pelajar institusi pengajian tinggi swasta yang dilapor hilang selepas mendaki bukit seorang diri di Pulau Mawar di sini dihentikan 7 malam, semalam.
Ketua Polis Daerah Mersing Supt Abdul Razak Abdullah Sani berkata operasi dihentikan selepas tiada sebarang petunjuk ditemukan pada hari kelima pencarian.
"Setakat ini, tiada petunjuk dan tanda-tanda yang boleh membantu pencarian mangsa yang melibatkan kawasan darat dan perairan.
"Bagaimanapun, jika ada sebarang maklumat yang relevan, pencarian akan dilakukan semula," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
Operasi melibatkan pelbagai agensi termasuk Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia serta Angkatan Pertahanan Awam Malaysia itu turut dilakukan menggunakan teknologi dron.
Laporan mengenai kehilangan Muhamad Akmal Hakimi Ishak, 20, dibuat bapanya di Balai Polis Kluang awal pagi Jumaat lepas, selepas pemuda itu tidak pulang ke rumahnya di Kluang sejak 1 Feb.
Polis kemudiannya menerima laporan mengenai penemuan motosikal dipercayai milik Muhamad Akmal Hakimi dalam keadaan baik dan tidak berkunci di kawasan berhampiran Pulau Mawar kira-kira 11.30 pagi, Jumaat lepas dan melancarkan SAR pada 5 petang, hari sama.
-- BERNAMA