Operasi SAR nelayan Indonesia hilang dihenti
Bernama
Disember 29, 2022 19:30 MYT
Disember 29, 2022 19:30 MYT
LABUAN: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) seorang nelayan Indonesia yang dikhuatiri lemas setelah menyelam ke dalam laut untuk memotong jaring yang tersangkut di enjin bot pada 24 Dis lepas dihentikan hari ini.
Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Labuan Kapten Nudin Jusoh berkata keputusan itu dibuat selepas berbincang dengan Pusat Kecil Mencari dan Menyelamat (MRSC) Labuan serta agensi penguatkuasaan lain pada hari keenam operasi SAR.
"Operasi SAR berakhir hari ini selepas tiada petunjuk dalam perimeter pencarian yang merangkumi kira-kira 174 batu nautika secara keseluruhan," katanya kepada Bernama.
Beliau berkata operasi itu membabitkan aset Maritim Malaysia, polis marin, Jabatan Bomba dan Penyelamat serta Jabatan Perikanan.
Bagaimanapun, katanya pencarian akan diteruskan jika terdapat petunjuk baharu mengenai lokasi mangsa.
Insiden pada 5 petang itu menyaksikan mangsa, yang dikenal pasti sebagai Diniela Rambie, 58, telah ke laut untuk menangkap ikan bersama dua kru bot nelayan tersebut.
Mangsa dan seorang kru kemudian cuba melepaskan jaring yang tersangkut pada enjin namun selepas kembali ke bot, kru itu mendapati Diniela tidak kelihatan selepas jaring itu berjaya dilepaskan.
-- BERNAMA