Operasi SAR nelayan hilang berhampiran Pulau Bidan ditangguhkan

Adie Sufian Zulkefli
Mac 20, 2021 22:57 MYT
Noor Azreyanti berkata, operasi berkenaan akan disambung semula pagi Ahad. - Astro AWANI
YAN: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) seorang nelayan yang hilang selepas terjatuh ke laut ketika keluar menangkap ikan di perairan berhampiran Pulau Bidan, Yan, pada Jumaat malam, ditangguhkan.
Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Kuala Kedah, Komander Maritim Noor Azreyanti Ishak berkata, operasi berkenaan akan disambung semula pagi Ahad.
"Operasi hari ini tertumpu di sekitar jarak kira-kira 9.7 batu nautika barat laut Pulau Bidan, Yan, iaitu lokasi mangsa dipercayai terjatuh.
“Mangsa, Mohd Rizal Ismail, 34, dilaporkan keluar ke laut bersama tekong dan seorang lagi rakan menaiki sebuah bot pukat tunda,” katanya di sini, hari ini.
BACA: Nelayan hilang dipercayai terjatuh dari bot
Sementara itu, menurut tekong bot berkenaan, Hee Leen Chai, mangsa disedari tiada di atas bot pada jam 11 malam Jumaat dan dia membuat keputusan untuk mencarinya terlebih dahulu.
Bagaimanapun dakwanya, usaha mencari di kawasan sekitar tidak berhasil, lalu dia melaporkan kehilangan mangsa kepada pada jam 7 pagi Sabtu.
#nelayan hilang #terjatuh ke dalam laut #pulau bidan #Yan #pukat tunda #terjatuh #dikhuatiri lemas #Maritim Malaysia #SAR #operasi
;