Operasi SAR nelayan dikhuatiri hilang di perairan Bachok diteruskan
Vivi Sumanti
Jun 29, 2019 06:00 MYT
Jun 29, 2019 06:00 MYT
Operasi mencari dan menyelamat (SAR) nelayan yang dilaporkan hilang sejak 26 Jun lalu masih diteruskan yang kini sudah memasuki hari keempat.
Dalam kejadian pada Rabu lalu, Muhamad Afandi Mohamed, 29 tahun, dari Kampung Tok Dosah, Bachok, keluar ke laut berseorangan dengan menaiki bot.
Pemangku Pengarah Maritim Negeri Kelantan, Komander Maritim Ismail Hamzah berkata, abang mangsa memaklumkan adiknya itu keluar ke laut seawal jam 4 pagi.
Bagaimanapun, bot mangsa dijumpai kosong oleh nelayan lain pada jarak 16 batu nautika dari Pantai Kemasin, lima jam kemudian.
"Nelayan lain yang melalui sekitar kawasan itu mendapati bot milik adiknya kosong. Bimbang dengan keadaan itu, dia bertindak membuat laporan mengenai kehilangan adiknya itu.
"Dalam operasi SAR yang dilakukan pada hari ini, Pusat Penyelaras Mencari dan Menyelamat Maritim (MRSC) Kuantan menetapkan kawasan pencarian sehingga 95 batu nautika persegi," katanya pada Sabtu.
Beliau berkata, pihaknya menggerakkan Bot Maritim Penyelamat 7 dan Bot Maritim Kilat 28, selain turut menggunakan aset Pasukan Polis Marin (PPM), bot PAC 27 serta bot fiber milik Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dalam pencarian mangsa.
"Operasi SAR mencari mangsa yang hilang juga turut mendapat kerjasama daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM), APM serta sukarelawan daripada persatuan nelayan setempat," katanya.
Sementara itu, Bernama melaporkan, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Kelantan memohon kerjasama Polis Diraja Thailand untuk membantu agensi itu mengesan Muhamad Afandi yang dikhuatiri lemas.
Pemangku Pengarah APMM Kelantan, Komander Maritim Ismail Hamzah berkata pihaknya telah menghubungi cawangan agensi keselamatan Thailand itu yang berpangkalan di Tak Bai, Narathiwat pada Khamis lepas bagi bantuan berkenaan.
“APMM sudah memaklumkan kepada Polis Diraja Thailand untuk memohon kerjasama mereka melaporkan kepada APMM jika menjumpai mayat di perairan mereka. Ini berikutan jarak tempat mangsa dilaporkan hilang dengan perairan Thailand adalah kira-kira 50 batu nautika,” katanya.
#Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia
#Bachok
#bot
#hilang
#Kelantan
#lemas
#mangsa
#mayat
#nelayan
#operasi
#polis
#Thailand