Operasi SAR nahas helikopter ditamatkan

Noraida Abdul Kassim
Mei 11, 2016 09:14 MYT
Menurut Muhammad Sabtu, pihak polis telah berhubung dengan pihak Kedutaan Filipina untuk urusan lanjut. - Gambar fail
Operasi Mencari dan Menyelamat (SAR) Helikopter RPC 6828 di Lingga, Sarawak, membabitkan pelbagai agensi sejak Khamis lalu, ditamatkan secara rasmi 4 petang hari ini.
Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Seri Muhammad Sabtu Osman, berkata, pemberhentian SAR itu dibuat berikutan pengesahan mayat terakhir yang ditemui baru-baru ini, adalah juruterbang warga Filipina, Kapten Rudolf Rex Ragas.
“Saya juga ingin mengumumkan bahawa mayat Rex Rudolf Ragas telah disahkan sepenuhnya dan kita telah berhubung dengan pihak Kedutaan Filipina dan pagi ini penyerahan telah dijalankan kepada anak saudaranya,” kata Muhammad Sabtu dalam satu sidang di Ibu Pejabat Kontinjen Sarawak, di sini, pagi tadi.
LAPOR LANGSUNG Rangkuman tragedi nahas helikopter
BACA: Keluarga juruterbang ucap terima kasih kerana jasad ditemui
Sementara itu, Muhammad Sabtu berkata, semua agensi yang terbabit dalam SAR akan meninggalkan lokasi pencarian, kecuali Kementerian Pengangkutan yang akan mengambil alih pencarian rangka utama helikopter berkenaan dengan kerjasama Tentera Laut Diraja Malaysia.
Menurutnya, pihaknya bersedia memberi bantuan terutama dalam aspek kawalan keselamatan jika diminta oleh kementerian pengangkutan.
Dalam kejadian Khamis lepas, helikopter malang terbabit yang dibawa oleh Ragas dan lima lagi individu terputus hubungan dan hilang daripada radar ketika dalam penerbangan dari Betong menghala ke Kuching.
#Betong #helikopter hilang #Kuching #Polis Sarawak #Rex Rudolf Ragas #Sabtu Osman #SAR