Operasi SAR nahas helikopter di Sebuyau berpindah ke Lingga

Bernama
Mei 6, 2016 23:02 MYT
Helikopter jenis Eurocopter AS350 itu dalam penerbangan dari Betong pada 4.12 petang menghala ke Kuching sebelum nahas itu berlaku. - Gambar fail
Tumpuan pencarian kini beralih ke kawasan hulu Sungai Batang Lupar berhampiran Lingga bagi mengesan helikopter yang hilang sejak semalam bersama empat penumpang dan seorang juruterbang.
Ketua Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Zon II Sarawak, Azman Julaihi yang mengetuai misi mencari dan menyelamat (SAR) JBPM berkata kawasan berkenaan, kira-kira 250km dari Kuching, dipercayai lebih dekat dengan lokasi tragedi berdasarkan penemuan satu mayat dan serpihan helikopter hari ini.
Sebelum ini, tumpuan pencarian ialah di Sungai Batang Lupar berhampiran Sebuyau, sebuah pekan kecil terletak 220km dari Kuching.
"Pasukan SAR akan memperluaskan kawasan pencarian sekitar 50 hingga 100 kilometer di kawasan hulu Sungai Batang Lupar bagi mengesan lima lagi yang hilang," katanya kepada Bernama.
Azman berkata aset pencarian akan ditambah dari semasa ke semasa bergantung kepada keperluan.
Helikopter jenis Eurocopter AS350 itu dalam penerbangan dari Betong pada 4.12 petang menghala ke Kuching sebelum nahas itu berlaku.
LAPOR LANGSUNG Pesawat membawa jenazah Noriah sudah berlepas dari Kuching
Azman berkata operasi SAR itu diteruskan di hulu sungai itu berhampiran Lingga malam ini.
Pos Operasi SAR di Jeti Feri Sebuyau, akan ditutup mulai 8 malam ini dan dipindahkan ke Lingga dekat Sri Aman mulai esok susulan peralihan kawasan pencarian ke Lingga, kira-kira 30km dari Sebuyau.
Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Datuk Noriah Kasnon, suaminya Asmuni Abdullah dan Anggota Parlimen Kuala Kangsar Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad yang juga
Pengerusi Lembaga Minyak Sawit Malaysia turut menaiki helikopter itu.
Turut berada di dalam pesawat itu ialah Ketua Setiausaha Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi Datuk Dr Sundaran Annamalai, pengawal peribadi Noriah, Ahmad Sobri Harun dan juruterbang warga Filipina Rudolf Rex Ragas.
Noriah berada di Betong untuk menjalankan tugas-tugas berkaitan kementeriannya semasa pilihan raya negeri ini.
#Azman Julaihi #Lingga #nahas helikopter #Sebuyau #Sungai Batang Lupar
;