Operasi SAR mangsa bot karam di Kota Tinggi dihentikan
Bernama
Julai 7, 2018 14:25 MYT
Julai 7, 2018 14:25 MYT
Operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa bot pancung karam di perairan Kota Tinggi yang diaktifkan sejak 2 Julai lepas, ditamatkan semalam.
Timbalan Pengarah (Operasi) Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Johor, Kapten Maritim Sanifah Yusof berkata operasi yang diselaras APMM itu ditamatkan pada 7.30 malam berikutan tiada penemuan dan petunjuk baru serta peluang tipis untuk menemui mangsa.
"Operasi yang diaktifkan sejak bot berkenaan karam pada 2 Julai lepas berjaya menyelamatkan 24 mangsa lelaki dan seorang wanita. Tujuh mangsa lelaki dan empat wanita ditemui mati manakala baki lapan mangsa masih hilang dan tidak ditemui.
"Kesemua 44 mangsa itu adalah pendatang asing tanpa izin warganegara Indonesia yang cuba memasuki negara ini melalui jalan tidak sah," katanya menerusi satu kenyataan di sini hari ini.
Sanifah berkata walaupun operasi dihentikan, pemantauan terus dilakukan oleh aset-aset bertugas dan operasi akan diaktifkan semula jika terdapat sebarang petunjuk baru.
Beliau berkata keluasan kawasan pencarian mangsa mencecah 900 batu nautika di laut dan di pantai sekitar dari Tanjung Penyusup, Kota Tinggi hingga Pulau Besar, Mersing.
Operasi melibatkan aset laut serta 150 anggota daripada pelbagai agensi termasuk Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM), Pasukan Polis Marin (PPM), Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Tentera Darat Malaysia(TDM), Angkatan Pertahanan Awam (APM), Hospital dan Petronas (RAPID Pengerang).
Dalam kejadian 2 Julai, bot pancung dinaiki 44 mangsa berumur 20an-40an karam di kedudukan 6.5 batu nautika dari Tanjung Punggai, Pengerang, dekat Kota Tinggi.
Kejadian berlaku ketika kesemua mangsa dalam perjalanan dari Batam, Indonesia untuk memasuki negara ini menerusi Tanjung Penawar, Kota Tinggi.
-- BERNAMA
#APMM
#bot
#Bot pancung
#Indonesia
#karam
#Kota Tinggi
#mangsa
#maritim
#menyelamat
#operasi
#pati
#pendatang
#Sanifah Yusof
#SAR