Operasi SAR kesan kakitangan TNB dikhuatiri lemas ketika memancing diperluas

Azee Shafy
Ogos 3, 2022 13:19 MYT
Operasi mencari dan menyelamatkan memfokuskan kepada pencarian mangsa di sekitar lokasi mangsa jatuh. - Foto JBPM
TEMERLOH: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) seorang lelaki yang dikhuatiri lemas semasa memancing berdekatan Loji Air Semantan di Kampung Lengkong, Lanchang pada Selasa diperluaskan sehingga dua kilometer dari lokasi mangsa dilaporkan terjatuh.
Pegawai Perhubungan Awam, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Zulfadli Zakaria berkata, mangsa ialah Amiruddin Asyraf Mat Saman, 26, merupakan kakitangan Tenaga Nasional Berhad (TNB) dipercayai sedang memancing di lokasi terbabit.
"Operasi mencari dan menyelamatkan memfokuskan kepada pencarian mangsa di sekitar lokasi mangsa jatuh, sehingga radius dua kilometer dari lokasi kejadian.
"Operasi bermula jam 8.00 pagi tadi dengan kekuatan pasukan Bomba membabitkan 22 anggota termasuk tujuh anggota dari Pasukan Penyelamat di Air (PPDA)," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Anggota polis, Angkatan Pertahanan Awam (APM), Rela dan orang awam antara yang turut membantu dalam usaha mencari dan menyelamat mangsa.
Zulfadli memberitahu, seorang lagi lelaki yang dipercayai turut memancing bersama mangsa, Yuhanif Abd Mushalleh, 32, berjaya diselamatkan Komander Operasi.
Katanya, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 6.22 petang semalam, dan Yuhanif berjaya diselamatkan oleh Komander Operasi dengan menggunakan tali keselamatan sekitar jam 7.00 malam.
#lemas #temerloh #bomba #kakitangan TNB
;