Operasi SAR kapal tentera laut AS ditamatkan

Astro Awani
Ogos 28, 2017 19:38 MYT
Operasi SAR itu meliputi keluasan seribu 260 batu nautika persegi di laut dan seribu 400 batu nautika persegi di udara.
Operasi mencari dan menyelamat (SAR) 10 anak kapal USS John McCain yang hilang pada 21 Ogos lalu, ditamatkan hari ini.
Menerusi kenyataan media yang dikeluarkan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), operasi itu ditamatkan sepenuhnya pada jam 9.30 pagi pada Isnin.
Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Laksamana Maritim Datuk Indera Zulkifli Abu Bakar berkata operasi SAR ditamatkan susulan kenyataan rasmi yang dikeluarkan oleh komander armada ke 7 Tentera Laut Amerika Syarikat (US Navy).
Kenyataan itu melaporkan kesemua mayat anak kapal telah dijumpai di ruangan dalam kapal tersebut oleh penyelam US Navy dan US Marine Corp.
Katanya APMM mengucapkan takziah kepada keluarga dan sahabat US Navy khususnya yang terkesan dengan insiden kapal USS John McCain.
APMM juga merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada semua agensi yang terlibat dalam SAR selama empat hari.
Operasi SAR itu meliputi keluasan seribu 260 batu nautika persegi di laut dan seribu 400 batu nautika persegi di udara.
Ia melibatkan 500 anggota pelbagai agensi termasuk Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), tentera darat, pasukan polis marin dan Jabatan Laut Malaysia.
SAR tersebut turut melibatkan kekuatan aset 12 buah kapal dan bot serta lima pesawat.
Pada 21 Ogos lalu, kapal pemusnah peluru berpandu, USS John McCain berlanggar dengan kapal tangki di perairam Teluk Ramunia, Kota Tinggi Johor.
Akibat pelanggaran itu, 10 anak kapal USS John McCain dilaporkan hilang.
#APMM #AS #hilang #kapal #operasi #tentera #TLDM #TUDM #USS John McCain
;