Operasi SAR kapal korek diteruskan, dengar bunyi ketukan

Raffi Bachik
Mac 23, 2018 13:30 MYT
Operasi SAR berdepan kesukaran ekoran halangan ombak yang kuat dan penglihatan yang terhad.
Usaha mencari dan menyelamat (SAR) diteruskan pada hari ketiga hari ini dengan pemeriksaan kira-kira 70 peratus ruang belakang kapal korek pasir yang terbalik di perairan Parit Jawa, Rabu lalu.
Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Wilayah Selatan, Datuk Abu Bakar Idris berkata, pemeriksaan dilakukan di bahagian enjin, bilik penginapan kru dan bilik stor kapal korek JBB Rong Chang 8 itu.
Namun menurutnya, pasukan SAR masih gagal mengesan kedudukan sebenar mangsa yang terperangkap.
Operasi turut berdepan kesukaran ekoran halangan ombak yang kuat dan penglihatan yang terhad.
"Ketika ini penyelam percaya mangsa masih berada di bilik jentera dan mereka akan laksanakan operasi penyelaman lebih agresif di kawasan berkenaan.
"Lima lagi penyelam dari KD Mahameru telah dikerah ke lokasi kejadian bagi melancarkan operasi ketika ini.
"Ini menjadikan keseluruhan penyelam Tentera Laut Diraha Malaysia (TLDM) seramai 28 orang pada hari ketiga pencarian ," katanya di pusat SAR di Pantai Leka, Parit Jawa di sini, hari ini.
Jelasnya pasukan SAR percaya mangsa yang terperangkap masih hidup ekoran isyarat bunyi ketukan pagi ini.
Pasukan paramedik turut dikerah ke lokasi kejadian bagi segera memberi bantuan sejurus mangsa ditemui.
Tambah Abu Bakar lagi, jika usaha mengesan mangsa masih tidak berjaya, pilihan terakhir pasukan SAR adalah untuk memotong bahagian depan kapal korek tersebut.
JBB Rong Chong 8 terbalik kira-kira 8.5 batu nautika dari perairan Pasit Jawa.
BACA: Seorang lemas, 11 kru kapal korek pasir hilang di perairan Muar
BACA: SAR kapal korek temui respon positif
Enam mangsa dijumpai selamat, seorang lagi ditemui lemas dan 14 lagi masih terperangkap.
Kesemua 18 mangsa adalah lelaki, terdiri daripada seorang warga tempatan dan seorang warga Indonesia manakala 16 lagi warga China.
#Abu Bakar Idris #JBB Rong Chang 8 #kapal korek #kru #Parit Jawa #Penyelam #SAR #terperangkap
;