Operasi SAR kanak-kanak dibaham buaya ditamatkan

Zulhafiiz Brahim
Disember 3, 2022 21:44 MYT
Operasi pencarian pada pagi tadi dijalankan dua kilometer dari lokasi mangsa dikenal pasti dibaham buaya berkenaan. - Gambar fail
LAHAD DATU: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) seorang kanak-kanak lelaki yang dibaham buaya berhampiran Pangkalan Jeti Pasukan Polis Marin (PPM) Lahad Datu, Khamis lalu, ditamatkan hari ini.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, operasi SAR hari ketiga dimulakan pada jam 6.53 pagi tadi.
Katanya, operasi pencarian pada pagi tadi dijalankan dua kilometer dari lokasi mangsa dikenal pasti dibaham buaya berkenaan.
"Namun mangsa yang dipercayai dibaham buaya masih belum ditemui.
"Hasil perbincangan dengan pihak polis, operasi ditamatkan pada 5.01 petang tadi," katanya dalam kenyataan media, hari ini.
BACA: Serangan buaya: Kanak-kanak Palauh dibaham, bapa cedera
Bagaimanapun, katanya operasi SAR akan disambung semula sekiranya menemui petanda baru.
Terdahulu, dalam kejadian jam 10 pagi 1 Disember lalu, kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun itu hilang dilarikan reptilia berkenaan selepas diserang buaya di lokasi kejadian.
Bapanya pula parah dengan kecederaan di beberapa bahagian badan dan kepala akibat digigit buaya ketika cuba menyelamatkan anaknya.
#budak dibaham buaya #Lahad Datu #operasi sar #bapa lawan buaya
;