Operasi SAR guna dron bantu kesan pelajar IPTS hilang di Pulau Mawar
Bernama
Februari 6, 2023 14:54 MYT
Februari 6, 2023 14:54 MYT
MERSING: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) seorang pelajar institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) yang dilaporkan hilang selepas dipercayai mendaki bukit seorang diri di Pulau Mawar di sini sejak Rabu lepas, turut menggunakan teknologi dron.
Ketua Polis Daerah Mersing Supt Abdul Razak Abdullah Sani berkata dron milik Pejabat Daerah Mersing telah digunakan pada hari pertama dan kedua operasi itu, manakala dron imej terma kepunyaan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia digunakan semalam.
Bagaimanapun, katanya dron tidak dapat digunakan untuk operasi hari ini, yang memasuki hari keempat, kerana cuaca buruk.
"Pulau Mawar yang berkeluasan kira-kira tiga kilometer persegi itu telah pun dimasuki berulang kali oleh anggota terlibat sejak hari pertama, yang mana operasi peringkat awal melibatkan pencarian di kawasan hutan dan pesisiran pantai.
"Selain itu, dua bot Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia serta sebuah bot marin turut digunakan dengan pertambahan anggota SAR daripada 45 kepada 58 orang meliputi tiga sektor iaitu darat, sungai dan perairan," katanya ketika dihubungi, hari ini.
Abdul Razak berkata tiada sebarang petunjuk diperoleh setakat ini dan memaklumkan operasi berkenaan bergantung kepada keadaan cuaca berikutan daerah itu yang mengalami hujan, sejak petang semalam.
Terdahulu, laporan mengenai kehilangan Muhamad Akmal Hakimi Ishak, 20, dibuat bapanya di Balai Polis Kluang awal pagi Jumaat (3 Feb) lepas, selepas pemuda itu tidak pulang ke rumahnya di Kluang sejak Rabu (1 Feb).
Polis kemudiannya menerima laporan mengenai penemuan motosikal dipercayai milik mangsa dalam keadaan baik dan tidak berkunci di kawasan berhampiran Pulau Mawar kira-kira 11.30 pagi, Jumaat lepas dan melancarkan SAR pukul 5 petang, hari sama.
-- BERNAMA