Operasi SAR di Sungai Gasi diteruskan pagi ini
Bernama
Februari 20, 2018 09:35 MYT
Februari 20, 2018 09:35 MYT
Operasi mencari dan menyelamat (SAR) tiga lagi mangsa hilang dikhuatiri lemas ketika memancing di Sungai Gasi berhampiran Kem Sungai Buloh semalam masih diteruskan setakat 8.30 pagi.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor berkata pencarian hari ini tertumpu di kawasan Sungai Saujana Utama, Sungai Buloh, di sini.
"Usaha mencari kesemua mangsa sejak petang semalam masih diteruskan pagi ini," katanya kepada Bernama di sini, hari ini.
Semalam, mayat pertama ditemukan kira-kira tujuh kilometer dari lokasi kejadian pada 9.49 malam, manakala mayat seorang lagi mangsa yang lengkap berpakaian ditemukan tersangkut pada pokok pada 1.26 pagi tadi, kira-kira sembilan kilometer dari lokasi kejadian.
Dalam kejadian petang semalam, lima mangsa hilang dibawa arus deras manakala tiga lagi terselamat.
Polis sebelum ini tidak menolak kemungkinan terdapat lebih ramai mangsa berdasarkan maklumat daripada siasatan awal kejadian mengenai kewujudan beberapa pemancing lain di kawasan itu ketika kejadian.
Difahamkan, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor Azmi Osman akan mengadakan sidang media pada 9.30 pagi ini.
-- BERNAMA