Operasi SAR cari nenek, cucu di Bukit Buluh Telur diteruskan pagi ini

Afiezy Azaman
Jun 17, 2024 10:20 MYT
Operasi mencari dan menyelamat seorang nenek bersama cucu perempuan berusia 12 tahun yang dilaporkan hilang dipercayai tersesat di Bukit Buluh Telur, Kuala Kubu Bharu, diteruskan awal pagi ini.
KUALA LUMPUR: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) seorang nenek bersama cucu perempuan berusia 12 tahun yang dilaporkan hilang dipercayai tersesat di Bukit Buluh Telur, Kuala Kubu Bharu, diteruskan awal pagi ini.
Menurut Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar, setakat jam 9 pagi, kedua-dua mangsa masih belum dijumpai.
"SAR dimulakan pada jam 8.30 pagi dan setakat jam 9 pagi kedua-dua mangsa masih belum dijumpai," katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan, pada Isnin.
Pada Ahad, JBPM Selangor melancarkan operasi mencari dan menyelamat (SAR) kedua-dua mangsa.
Pengarah JBPM Selangor, Wan Md Razali Wan Ismail berkata, mangsa adalah seorang wanita warga emas berusia 62 tahun bersama seorang kanak-kanak yang juga cucunya.
Beliau berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 3.12 petang.
"Susulan itu, sepasukan lapan anggota bersama jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Kubu Bharu digerakkan ke lokasi.
"Menurut laporan awal, kedua-dua mangsa dipercayai pergi ke kebun durian mereka sebelum wanita warga emas berkenaan menghubungi anak sulungnya kira-kira jam 12 tengah hari tadi untuk memaklumkan tersesat.
"Anak mangsa kemudian membuat laporan kehilangan ahli keluarganya pada jam 3 petang," kata beliau.
#operasi sar #nenek dan cucu hilang #Bukit Buluh Telur #bomba Selangor
;