Operasi SAR bot pancung karam di Pantai Batu Layar dihentikan sepenuhnya - Bomba
Bernama
Julai 24, 2016 18:56 MYT
Julai 24, 2016 18:56 MYT
Operasi mencari dan menyelamat (SAR) baki mangsa bot pancung karam yang dinaiki pendatang asing tanpa izin warga Indonesia di Pantai Batu Layar, dekat sini ditamatkan sepenuhnya pada pukul 5 petang tadi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Bandar Penawar Mohd Fadhli Ismail berkata operasi itu ditamatkan berikutan tiada petunjuk baharu mengenai mayat mangsa akan ditemui selain kemungkinan mangsa yang terselamat melarikan diri.
"Kita sudah memantau kawasan persisiran pantai seluas dua kilometer dan didapati tidak terdapat petanda positif.
Kita juga percaya ada di antara mangsa sudah melarikan diri sebaik dapat menyelamatkan diri kerana takut dicekup pihak berkuatkuasa," kata beliau kepada pemberita di pusat operasi pencarian di sini hari ini.
Mohd Fadhli berkata walaubagaimanapun, pasukan penyelamat masih diletakkan dalam keadaan bersiap sedia untuk membantu sekiranya ada mayat baharu ditemui.
Beliau berkata bot pancung yang karam itu juga diterbalikkan bagi memastikan tiada mangsa terperangkap di dalamnya.
Bot itu akan diserahkan kepada pihak polis sebagai bahan bukti, tambahnya lagi.
Sebelum itu, operasi SAR yang melibatkan kira-kira 40 anggota anggota penguatkuasa dari pelbagai agensi, tertumpu pada kira-kira lima batu nautika persegi dari lokasi bot itu karam.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Tinggi Supt Rahmat Othman berkata angka korban dari kejadian bot karam itu adalah sembilan iaitu dua lelaki, enam wanita dan seorang bayi.
"Mayat terakhir ditemui ialah seorang wanita yang dijumpai terdampar pada pukul 4.10 petang, satu kilometer dari tempat kejadian," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Mereka yang terselamat pula seramai 34 orang, 26 lelaki dan lapan perempuan, yang kini ditempatkan di Kompleks Kementerian Dalam Negeri Setia Tropika Johor Baharu untuk tindakan lanjut.
#bot pancung karam
#Mohd Fadhli Ismail
#Pantai Batu Layar
#pendatang asing tanpa izin
#SAR
#warga Indonesia