Operasi SAR 3 penyelam warga asing hilang di Mersing ditangguhkan
Bernama
April 8, 2022 21:25 MYT
April 8, 2022 21:25 MYT
MERSING: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) bagi mengesan tiga penyelam warga asing yang hilang di perairan Pulau Tokong Sanggol, dekat sini, Rabu lepas, ditangguhkan petang ini.
Pengarah Zon Maritim Mersing Komander Maritim Khairul Nizam Misran berkata operasi yang memasuki hari ketiga pencarian dimulai seawal pukul 3 pagi tadi, sebelum ditangguhkan pada 6 petang ini berikutan tiada petunjuk baharu.
"Setakat ini, tiada lagi sebarang maklumat diterima daripada aset di laut dan udara termasuk yang terakhir diterbangkan pada 1 tengah hari tadi.
"Selain itu, kita juga mendapat tambahan aset daripada orang awam yang sudi membantu operasi menyelamat dengan 10 jet ski namun tiada input diterima, setakat ini," katanya kepada pemberita di Pangkalan Hadapan Carilamat di Jeti Awam Majlis Daerah Mersing, di sini hari ini.
Agensi yang terlibat dalam operasi berkenaan adalah Polis Diraja Malaysia (PDRM), Pasukan Polis Marin, Tentera Udara Diraja Malaysia, Tentera Laut Diraja Malaysia, Gerup Gerak Khas (GGK) Kem Iskandar Mersing, Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) dan Angkatan Pertahanan Awam (APM).
Mengulas lanjut, Khairul Nizam berkata kawasan carian operasi terbabit melebihi daripada 1,000 batu nautika setakat ini dan akan diperluaskan lagi esok bermula pukul 7 pagi.
"Kita akan sambung esok dengan kawasan carian yang baharu yang mana kita akan pergi bawah lagi ke selatan dan mungkin ke perairan Tanjung Pengelih, Kota Tinggi.
Selain itu, kita akan menggunakan aset sedia ada dan berkemungkinan meminta bantuan penduduk melihat di sepanjang pantai berkenaan jika ada terlihat tiga penyelam terbabit," katanya.
Dalam kejadian tengah hari Rabu, empat penyelam warga asing dilaporkan hilang ketika menyelam di perairan pulau berkenaan yang terletak kira-kira sembilan batu nautika dari Tanjung Leman, di sini.
Bagaimanapun, jurulatih selam warga Norway Kristine Grodem, 35, ditemukan selamat dalam keadaan terapung, lengkap berpakaian dengan kelengkapan menyelam oleh sebuah bot tunda yang dalam perjalanan dari Indonesia ke Thailand, pada 8.15 pagi semalam.
Usaha mencari tiga lagi penyelam iaitu Alexia Alexandra Molina (18, warga Perancis); Adrian Peter Chesters (46, warga British) dan anaknya, Nathen Renze Chesters (14, warga Belanda), diteruskan hari ini.
-- BERNAMA