Operasi sanitasi: Bukan cucian biasa, pemilik premis perlu ikut SOP KKM - Ismail Sabri

Isabelle Leong
Mei 27, 2020 14:54 MYT
ISMAIL SABRI: Jika mereka mempunyai sebarang persoalan mengenai SOP sanitasi, pemilik premis boleh menghubungi Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) yang berdekatan bagi mendapatkan penjelasan lanjut. - Gambar fail
Pemilik premis perniagaan swasta yang ingin melakukan proses sanitasi sebelum memulakan operasi perlu mengikut garis panduan Kementerian Kesihatan (KKM) terutama membabitkan bahan kimia yang digunakan.
Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, garis panduan yang disediakan merangkumi jenis bahan kimia yang sesuai dan diluluskan untuk tujuan berkenaan.
“Saya difahamkan ada yang menggunakan tukang pejabat masing-masing untuk melakukan sanitasi (menggunakan bahan pencuci biasa).
“Tidak kira siapa pun yang melakukan tugas mencuci dan mensanitasi pejabat, adalah penting mereka ikut garis panduan yang ditetapkan KKM .
“(Terutama) membabitkan jenis bahan kimia untuk tujuan sanitasi yang hendak digunakan, ia perlu mendapat kelulusan kementerian tersebut,” kata Ismail Sabri pada sidang media di Putrajaya pada Rabu.
Tegasnya, operasi sanitasi yang dilakukan bukan seperti cucian biasa yang dilakukan oleh pekerja pembersihan setiap hari, sebaliknya perlu dilakukan mengikut garis panduan yang ditetapkan.
“Jika mereka mempunyai sebarang persoalan mengenai prosedur operasi standard (SOP) sanitasi, pemilik premis boleh menghubungi Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) yang berdekatan bagi mendapatkan penjelasan lanjut,” katanya.
#bahan kimia #bukan cucian biasa #ismail sabri yaakob #Kementerian Kesihatan #KKM #operasi sanitasi #pembersih #pemilik premis #peniaga #sanitasi
;