Operasi rondaan bersama APMM dan Polis Marin Thailand
Bernama
Februari 6, 2013 18:46 MYT
Februari 6, 2013 18:46 MYT
Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan Polis Marin Diraja Thailand menandatangani perjanjian operasi bersama dalam kempen menangani penyeludupan secara berterusan di perairan sempadan Malaysia-Thailand.
Ketua Penguatkuasa APMM Pangkalan Kubor, Left Madya Wan Mat Wan Yaacob menandatangani perjanjian tersebut bagi pihak APMM manakala Polis Marin Diraja Thailand diwakili Ketua Inspektor Polis Marin Takbai, Left Kol Watchiranon Nonna.
Majlis itu disaksikan Ketua Penguat Kuasa APMM Kelantan, Kapten Maritim Wan Burhanuddin Jusoh pada majlis ringkas yang diadakan di atas kapal Maritim Malaysia di Laut China Selatan, di sini hari ini.
Bercakap kepada pemberita, Wan Burhanuddin berkata melalui perjanjian itu kedua-dua pasukan akan mengadakan rondaan bersama di sempadan perairan kedua-dua negara.
Beliau berkata kedua-dua pasukan juga akan membuat pemeriksaan dan pengawalan bagi memastikan masyarakat kedua-dua negara berada dalam keadaan selamat dan aman.
"Kita harap dengan kerjasama ini dapat mengeratkan lagi hubungan dua negara, Malaysia dan Thailand," katanya.
Beliau berkata operasi itu akan diadakan secara berterusan melibatkan masing-masing dua bot Polis Marin Diraja Thailand dan APMM pada satu-satu masa.
"Kita diminta oleh Thailand untuk mengadakan rondaan seperti ini, dan hari ini kita mulakan operasi bersama yang melibatkan APMM dan polis Marin Diraja Thailand," katanya.