Operasi Ramadan 2024 diteruskan, pastikan keselamatan makanan

Nursyazwani Saiful Sham
Mac 12, 2024 10:53 MYT
KKM akan meneruskan Operasi Ramadan 2024 serentak di seluruh negara di semua premis makanan termasuk bazar Ramadan. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melalui Program Keselamatan dan Kualiti Makanan (PKKM) komited untuk memastikan keselamatan makanan yang dijual sentiasa terjamin dengan menjalankan aktiviti pemantauan sebelum dan sepanjang bulan Ramadan.
Susulan itu, KKM akan meneruskan Operasi Ramadan 2024 serentak di seluruh negara di semua premis makanan, termasuk bazar Ramadan.
"Aktiviti operasi ini melibatkan pemeriksaan premis serta pensampelan makanan yang bermatlamat memastikan makanan yang disediakan atau dijual adalah selamat dan mematuhi Akta Makanan 1983 dan peraturan-peraturan di bawahnya.
"Pemeriksaan ini juga akan dijalankan dengan kerjasama pihak berkuasa tempatan (PBT) masing-masing.
"Selain itu, kempen-kempen kesedaran berkaitan keselamatan makanan kepada orang ramai, pengendali dan pengusaha premis bahan mentah, premis penyediaan makanan, premis pembekal makanan turut giat dijalankan melalui bahan pendidikan kesihatan, media massa, media elektronik dan media sosial," kata KKM dalam satu kenyataan hari ini.
Justeru, orang ramai dinasihatkan agar mengutamakan keselamatan makanan sepanjang Ramadan ini dalam memilih apa sahaja juadah berbuka.
"Sebelum membeli, 'Perhati dan Pilih' serta amalkan 'Lihat Hidu Rasa' kerana ia langkah paling mudah untuk mengelak keracunan makanan," tambah KKM.
Para peniaga pula dinasihatkan supaya membersihkan terlebih dahulu bahan mentah sebelum digunakan dalam penyediaan makanan dan tidak menyediakan makanan yang berisiko tinggi terlalu awal daripada waktu untuk dijual.
"KKM sentiasa peka dan prihatin terhadap perkara-perkara yang boleh mengancam keselamatan pengguna.
"Melalui pelaksanaan pemantauan dan penguatkuasaan yang berterusan, KKM memberi jaminan bahawa tahap keselamatan dan kualiti makanan sepanjang Ramadan adalah terkawal," jelasnya.
#Kementerian Kesihatan #Ramadan #Operasi Ramadan 2024 #Keselamatan makanan
;