Operasi pintu Ampang Jajar Sungai Muda pulih sepenuhnya

Bernama
Mei 15, 2023 23:33 MYT
Paras air Sungai Muda telah meningkat ke tahap 1.56 meter di Muka Sauk Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) di Lahar Tiang, Seberang Perai pada pagi ini. - BERNAMA
KUALA LUMPUR: Operasi Ampang Jajar Sungai Muda di Pulau Pinang yang mengalami gangguan teknikal pada sistem automasi kawalan (SCADA) Sabtu lalu, pulih sepenuhnya, hari ini.
Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC), dalam kenyataan hari ini, memaklumkan gangguan teknikal itu telah menyebabkan satu pintu kawalan terbuka tanpa sebarang amaran menyebabkan air Sungai Muda telah surut ke paras 0.67 meter (m) berbanding 1.85m.
"Sehubungan itu, Pejabat Lembangan Sungai Muda telah mengambil tindakan serta merta dengan menutup pintu air tersebut secara manual pada jam 7.30 pagi semalam dan tindakan pemulihan bagi menaikkan aras air Sungai Muda telah dibuat melalui pelepasan air daripada Empangan Beris mulai jam 8.45 pagi semalam.
"Pelepasan takungan Empangan Beris dibuat dengan kadar alir pelepasan maksimum iaitu sebanyak 15 meter padu per saat (m3/s) sehingga air Sungai Muda mencapai aras minima 1.85m. Sehingga jam 2.30 petang ini, aras air di Ampang Jajar telah meningkat kepada 1.7m," menurut kenyataan itu.
Dalam kenyataan sama, NRECC turut memaklumkan sebagai langkah tindakan jangka pendek, semua operasi pintu Ampang Jajar Sungai Muda akan ditukarkan daripada mod automatik kepada mod manual sepanjang tempoh musim kering ini.
"Bagi memastikan sistem dapat berfungsi dan beroperasi dengan baik, penggantian kesemua 14 alat angkat (actuator) akan disegerakan. Jabatan Pengairan dan Saliran sedang membuat siasatan terperinci bagi mengenal pasti punca sebenar gangguan teknikal pada sistem kawalan pintu," katanya.
Menurut kenyataan itu, sumber dan bekalan air dijangka pulih sepenuhnya secara berperingkat di semua kawasan termasuk di hujung sistem agihan bekalan, Rabu ini.
"Pada masa sama, pihak Syarikat Air Darul Aman Sdn Bhd (SADA) telah memasang Submersible Pump' bagi membolehkan Loji Rawatan Air (LRA) Kulim HiTech, Sungai Petani dan Pinang Tunggal beroperasi.
"Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang Sdn Bhd (PBAPP) telah melepaskan air Empangan Mengkuang pada 7.24 pagi semalam sebanyak 13,000 meter padu per jam (m3/jam) dan dapat membantu LRA Sungai Dua memproses air terawat sebanyak 800 juta liter sehari (JLH)," katanya.
Bermula semalam, LRA Kulim HiTech telah kembali beroperasi 100 peratus pada jam 8 malam; LRA Sungai Petani dan Pinang Tunggal serta pam Air Mentah LRA Sungai Petani (45 peratus, 10 malam); manakala Pam Air Mentah LRA Pinang Tunggal (70 peratus, 10 malam).
"LRA Sungai Dua pula telah beroperasi menggunakan sumber air mentah Empangan Mengkuang dengan pengeluaran air terawat sebanyak 90 peratus pada jam 11 malam, semalam," katanya.
-- BERNAMA
#Ampang Jajar #Sungai Muda #SCADA #pulau pinang
;